
BELADIN: Aksi penuh sengit mewarnai Pertandingan Tarik Tali Karnival Beting Maro 2025 apabila pasukan Trassmerah A dari Kabong dan Triplehook Women dari Bintangor dinobatkan sebagai juara dalam kategori masing-masing, semalam.
Bagi Kategori Lelaki 720 kilogram (kg), Trassmerah A membuktikan kekuatan dan strategi mantap untuk membawa pulang hadiah RM3,000.
Tempat kedua dimenangi pasukan Comand juga dari Kabong dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, manakala Sik Jerak dari Gerigat meraih tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.
Pasukan Firefly (Perpat) pula menamatkan saingan di tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.

Bagi Kategori Wanita 680 kg, kehebatan Triplehook Women dari Bintangor tidak dapat ditandingi apabila mereka muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Diikuti rapat oleh Mefa Tow dari Sibu yang bergelar naib juara dengan ganjaran RM700, tempat ketiga menjadi milik Sik Jerak Girl dari Gerigat dengan hadiah RM500 manakala Beladin Girl (Beladin) di kedudukan keempat membawa pulang RM300.

Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor.
Razaili berkata pertandingan ini bukan sahaja menyerlahkan semangat kesukanan tetapi juga menjadi platform mempererat silaturahim antara pasukan dari seluruh daerah yang mengambil bahagian.
Sebanyak 16 pasukan dari sekitar Sarikei, Bintangor, Sibu, Gedong, Beladin, Kabong, Perpat serta kampung sekitar Bahagian Betong menyertai Kejohanan Tarik Tali sempena Karnival Beting Maro (KBM) 2025.
Oleh Adi Safarman