
BINTULU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai tonggak utama transformasi pertanian di Sarawak, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau menegaskan PPK tidak boleh hanya berperanan secara formal, sebaliknya mesti turun padang untuk membimbing petani daripada peringkat pengeluaran hingga ke pemasaran produk.
“PPK mesti menjadi pelaku, bukan sekadar pemerhati.
“Mereka juga perlu bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai agen pemasaran bagi memastikan hasil tani sampai ke pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Seminar Ahli-Ahli PPK sempena Sarawak Agrofest 2025 di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Menurut beliau, kelemahan utama sektor agro di Sarawak ketika ini adalah rantaian bekalan yang masih belum lengkap, bermula daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran, pemprosesan hiliran sehinggalah ke pasaran.
“Kita mesti membina rantaian bekalan yang lengkap.
“Industri sawit berjaya kerana mempunyai rantaian yang kukuh.
“Sektor lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan ternakan juga perlu dibangunkan dengan pendekatan sama,” jelasnya.
Tambahnya, kerjasama antara PPK, PPNS dan agensi berkaitan adalah kunci bagi memacu pertanian negeri ke arah lebih moden dan berdaya saing.
Beliau menegaskan, hanya melalui rantaian bekalan yang mantap, produk tani Sarawak mampu menembusi pasaran lebih luas, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat tani luar bandar.
“Transformasi ini bukan sahaja untuk keuntungan petani, tetapi juga menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri dan negara,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih