MIRI: Kerajaan Sarawak komited untuk mentransformasikan negeri ini menjadi bandar hijau yang mampan bagi mengiktiraf kelestarian alam sekitar.
Timbalan Pengarah Hutan (Pengurusan Hutan), Semilan Repot berkata, di bawah kepimpinan berwawasan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak telah memulakan perjalanan transformatif, berkembang daripada amalan pembalakan tradisional kepada Pengurusan Hutan Lestari (SFM), dan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, peralihan ini sejajar dengan rangka kerja global seperti Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), mengukuhkan kedudukan hijau Sarawak.
Pada November 2024, Sarawak mencapai pencapaian penting dengan pengeluaran satu Lesen Karbon Hutan (FCL), dan tujuh Permit Kajian Karbon (CSP), meliputi 183,625 hektar tanah.
“Projek-projek ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan tetapi juga menjana kredit karbon, mewujudkan aliran hasil baharu dan membawa manfaat ketara kepada komuniti tempatan kita.
“Inisiatif kami disokong oleh rangka kerja undang-undang yang teguh di bawah Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022, memastikan ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan dengan piawaian pasaran karbon antarabangsa,” katanya.
Semilan Repot berkata demikian berucap pada majlis perasmian Seminar Status Permit Kajian Karbon Hutan dan Lesen Karbon Hutan oleh Pemegang Permit dan Lesen yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Seramai 160 peserta menyertai seminar tersebut anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
Mengenai seminar itu, Semilan berkata membentangkan peluang penting untuk kita semua berkongsi maklumat terkini, pandangan dan amalan terbaik mengenai pengurusan aktiviti karbon hutan.
“Penyertaan anda adalah penting untuk memperhalusi rangka kerja kawal selia Sarawak, meningkatkan ketelusan, dan membuka peluang ekonomi yang mampan untuk rakyat kita.
“Dengan memupuk kerjasama dan dialog, kita boleh mengukuhkan kedudukan pengurusan hutan yang mampan,” katanya.
Melalui seminar ini, para pemegang CSP dan FCL akan diberi ruang untuk melaporkan status kajian/lesen, membincangkan sebarang isu dan cabaran, serta mendapatkan maklum balas daripada JHS.
Penganjuran program ini juga menyediakan platform untuk memaklumkan pihak JHS tentang status terkini kajian/lesen, metodologi, prosedur perundingan pihak berkepentingan, dan kepatuhan terhadap syarat-syarat.
Oleh Liong Chai Ling