
KUCHING: Agenda transformasi infrastruktur di kawasan luar bandar Sarawak terus diperkasa menerusi sesi libat urus strategik yang memberi tumpuan kepada pembangunan rangkaian jalan raya utama di Bahagian Betong.
Sesi tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu bagi menyelaraskan pelaksanaan beberapa projek penting agar dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Perbincangan yang diadakan memberi penekanan kepada beberapa projek kritikal yang dijangka memberi impak besar kepada kehidupan penduduk luar bandar di kawasan berkenaan.
Antara projek yang dibincangkan termasuk menaik taraf jalan Rumah Panjang Perdu, menaik taraf jalan Nanga Buai–Merunjau di Ulu Spak bagi fasa satu serta cadangan pembinaan jalan Tebalau–Ulu Layar.
Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, sesi libat urus tersebut bukan sekadar memfokuskan kepada perkembangan fizikal projek, malah turut melibatkan perincian aspek teknikal dan perancangan pra-kontrak bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Kenyataan itu memaklumkan penyelarasan teknikal serta strategi pelaksanaan yang tersusun amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang mampu memberi manfaat maksimum kepada komuniti luar bandar sebaik sahaja ia siap dilaksanakan.
Sesi berkenaan turut dihadiri wakil daripada JKR Sarawak, JKR Bahagian Betong serta perunding projek yang terlibat bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan projek dipantau secara menyeluruh.
Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar sebagai usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan pedalaman.
Pembangunan rangkaian jalan raya yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan, malah memudahkan pergerakan penduduk untuk mendapatkan kemudahan asas, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, kemudahan infrastruktur yang lebih baik juga dijangka membuka peluang lebih luas kepada penduduk setempat khususnya usahawan tani dan golongan belia untuk memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
Usaha berterusan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif dapat dinikmati oleh masyarakat di seluruh Sarawak termasuk di kawasan luar bandar seperti Betong.
Oleh Adi Safarman