KUCHING: Transformasi ekonomi Sarawak menerusi pembangunan industri baharu, teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau perlu bergerak seiring dengan usaha memastikan keselamatan, kesihatan serta kesejahteraan pekerja terus terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan ekonomi dan teknologi tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan kesihatan, keselamatan serta maruah tenaga kerja.
Beliau berkata, perubahan pesat dalam dunia pekerjaan susulan kemajuan teknologi, automasi, pendigitalan, perubahan iklim dan peralihan demografi membuka peluang baharu, namun turut mewujudkan cabaran kesihatan pekerjaan yang semakin kompleks.

“Dunia pekerjaan masa depan mesti produktif, namun pada masa sama perlu selamat, sihat, inklusif dan mampan.
“Kemajuan ekonomi tidak boleh dicapai dengan mengorbankan kesihatan, keselamatan dan maruah pekerja,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian pada perasmian Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia Ke-24 (ACOH) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari berkata, konsep kesihatan pekerjaan kini tidak lagi terhad kepada pencegahan kecederaan fizikal, sebaliknya turut merangkumi kesihatan mental, kesejahteraan psikososial, risiko perubahan iklim, interaksi manusia dengan mesin serta perlindungan pekerja dalam sektor baharu.
Menurutnya, menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak sedang melaksanakan transformasi ekonomi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan industri baharu, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, AI dan teknologi maju.
Katanya, perkembangan sektor seperti industri hijau, pembuatan mampan dan ekonomi rendah karbon akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, namun memerlukan tenaga kerja yang memiliki pengetahuan, kemahiran teknikal serta keupayaan dalam bidang kesihatan pekerjaan.
“Tenaga kerja masa depan bukan sahaja perlu berkemahiran dari segi teknologi, tetapi turut perlu sihat, dilindungi dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan kepentingan menangani cabaran baharu seperti perubahan iklim, tekanan berkaitan pekerjaan, kesihatan mental serta perlindungan golongan pekerja rentan termasuk pekerja migran, pekerja tidak formal, wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata, pembangunan mampan perlu memastikan manfaat dapat dinikmati semua pekerja tanpa mengira latar belakang, pekerjaan atau lokasi.
“Melindungi maruah dan kesejahteraan setiap pekerja bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi asas kepada pembinaan ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperluaskan amalan kesihatan pekerjaan melangkaui kawasan bandar dan sektor industri besar supaya ilmu serta kesedaran berkaitan keselamatan pekerjaan turut sampai kepada komuniti luar bandar, termasuk petani, pekerja ladang, pengusaha kecil dan usahawan.
Sementara itu, ACOH 2026 yang berlangsung selama empat hari menghimpunkan pakar kesihatan pekerjaan, penyelidik, penggubal dasar, pemimpin industri serta profesional dari seluruh Asia dan dunia bagi berkongsi pengetahuan serta menangani cabaran baharu dalam bidang kesihatan pekerjaan.
Penganjuran kongres berkenaan di Sarawak memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai platform kerjasama serantau dalam bidang inovasi, pertukaran ilmu serta pembangunan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan mampan.
Oleh Afiq Sallehi





