KUALA LUMPUR: Transformasi digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah dipercepatkan dengan bijak dan sewajarnya ketika pandemik Covid-19, dan pelaksanaan inovasi dan teknologi itu akan membantu meningkatkan daya tahan PKS terhadap kejutan ekonomi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata transformasi digital akan mewujudkan korelasi yang positif ke atas produktiviti, inklusif dan aktiviti perniagaan PKS dalam normal baharu.
“Ia juga akan membantu mendapatkan pelanggan baharu di luar daripada sempadan ini,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Forum Perniagaan PKS Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 secara maya, di Shenzhen, China semalam.
Wan Junaidi turut menegaskan bahawa penggunaan pendigitalan mempunyai cabaran yang tersendiri.
“Isu-isu berkenaan digital, kelemahan dan jurang infrastruktur perlu ditangani oleh ekonomi APEC. Ini termasuk kebimbangan mengenai keselamatan dan peribadi, kurang kepakaran, tenaga kerja dan pengetahuan dalam inisiatif pendigitalan, perbelanjaan yang terhad, kekurangan akses kepada kesalinghubungan dan kekurangan strategi pendigitalan yang bersepadu,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata adalah penting untuk memperkukuhkan kerjasama APEC bagi membantu PKS menyelesaikan semua cabaran ketika krisis Covid-19.
“Ekonomi APEC dan PKS perlu menjadi tunjang, memberi keutamaan dan menunjukkan kemajuan untuk memacu rantau ini ke arah pemulihan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan terjamin.
“Satu-satunya cara semula jadi untuk berjaya ialah PKS APEC perlu segera melakukan transformasi terhadap model perniagaan mereka dan memanfaatkan pendigitalan dalam normal baharu,” tambahnya. – Bernama