PENGGIAT industri kraf tangan di Sekuau digesa supaya memanfaatkan kemudahan transformasi digital untuk mengetengahkan produk jualan mereka kepada pasaran luar meskipun bermula dengan skala kecil.
Menurut Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Selangau, Siti Zaharah Mohamad Mohmood, penggunaan medium teknologi terkini membolehkan pengusaha memasarkan produk mereka sehingga ke pasaran antarabangsa.
“Kita boleh gunakan Internet untuk memasarkan produk menerusi perniagaan online berbanding guna cara lama.
“Ia selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar rakyat dapat meningkatkan sumber pendapatan menerusi ekonomi digital,” jelasnya selepas merasmikan bengkel kraf tangan membuat Tangu Moden dan Sugu Tinggi di Dewan Penghulu Balang Skim Sekuau pada bulan Ogos lalu.
Beliau juga mahu kawasan Sekuau menjadi sebagai pusat pengeluar hasil kraf tangan di daerah Selangau.
Ketua Exco Wanita Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (MJKKK) Sekuau Pakoh, Dami Dingun berkata, pihaknya giat menganjurkan pelbagai bengkel kraf tangan bagi menyahut seruan kerajaan dalam industri tersebut yang berpotensi menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Sarawak.
Menurutnya, Exco Wanita MJKKK bergiat aktif dalam menganjurkan bengkel kraf tangan, dengan baru-baru ini adalah bengkel membuat Tangu Moden dan Sugu Tinggi
Katanya, bagi menggalakkan penyertaan mereka telah memberikan subsidi RM100 kepada setiap peserta bengkel membuat Sugu Tinggi dan RM60 untuk Tangu Moden.
“Pemberian subsidi adalah sebagai galakan kepada para peserta untuk menyertai bengkel tersebut yang akan memberikan ilmu kemahiran kraf tangan ini,” ujarnya.
Beliau memberitahu, sambutan daripada penduduk setempat amat menggalakkan dimana mereka terpaksa menghadkan jumlah penyertaan.
“Ya, kita terpaksa menghadkan jumlah peserta, bagi bengkel Kraftangan Tangu Moden hanya terbuka kepada seramai 50 peserta dan kraftangan Sugu Tinggi 40 peserta,” ujarnya.
Dami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang kerana telah menghulurkan sumber kewangan sebanyak RM10,000 kepada Exco Wanita MJKKK Sekuau Pakoh.
Katanya, dana tersebut adalah untuk membantu Exco Wanita MJKKK Sekuau Pakoh menjayakan pelbagai program mereka demi untuk memberikan manfaat kepada semua ahlinya.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada wakil rakyat kami, Gira Sambang kerana selalu membantu dalam menjayakan program-program kami.
“Beliau (Gira) adalah seorang yang berjiwa rakyat, sentiasa memahami keperluan dan permasalahan rakyat. Wakil rakyat seperti inilah yang kami mahu untuk terus menjadi pemimpin kami di DUN Tamin, “ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman