Oleh Lokman Hakim
Menelusuri cerpen “Tragedi Tahun Baru” tulisan Laila Ahniaw ini menemukan saya pada kesederhanaan. Ceritanya bergerak dengan watak utama, Mak Jiah yang menyenangi kedatangan tahun baharu yang diiringi kepulangan anak-anaknya. Meskipun begitu, dia tidak menyukai cara sambutan tahun baharu mutakhir ini yang sarat dengan dentuman mercun tanpa mengira waktu.
Cerpen ini bergerak sempurna. Pengenalan watak Mak Jiah, disusuli anak-anak dan cucu-cucunya disampaikan dengan baik. Pemanjangan cerpen terjaga kemas tanpa bahagian lewah, padat dan punya naratif berkesan dalam menyampaikan ceritanya. Secara keseluruhannya, cerpen ini berimbangan dari segi penyampaian. Naratifnya diladeni baris-baris ayat ringkas. Garapan watak-wataknya juga kemas dan dapat dilihat melalui kegusaran Mak Jiah, kepolosan cucu bernama Juju, kematangan pemikiran anak bernama Ucik yang digambarkan melalui dialog-dialog yang hidup dan setara dengan latar penceritaan.
Terdapat usaha pengarang untuk membina kritikan sosial dalam penceritaan. Pertembungan pemikiran golongan muda dengan golongan tua digagaskan dengan definisi adab dan tatasusila yang berbeza takrifnya melalui pandangan Mak Jiah yang kurang menyenangi sikap orang muda menyambut tahun baharu secara berlebihan tanpa mempedulikan sentimen masyarakat setempat yang baru sahaja mendepani kematian.
Namun, sebuah cerpen harus didukung matlamat dan cita-cita pengarang demi memberikan suatu nafas penceritaan yang kuat. Saya tidak dapat melihat cita-cita kepengarangan mahupun matlamat yang hendak dicapai melalui penulisan cerpen ini. Apabila pengarang memilih untuk mengungkapkan tragedi melalui perkhabaran yang didengari watak-watak dan bukannya dialami watak-wataknya sendiri, saya mula mempersoalkan tujuan cerpen ini dikarang.
Cerpen, iaitu sebuah cerita pendek, lazimnya dibina atas faktor dorongan tertentu. Pengarang berpengalaman membaurkan fikiran, emosi dan juga suatu kesungguhan untuk menyampaikan sesuatu kepada pembaca karyanya. Dan lazimnya sesebuah cerpen dikarang untuk memberi impak terhadap pembaca baik dari segi emosi atau intelektual.
Memandangkan penulis menggunakan perkataan ‘tragedi’ untuk menggambarkan insiden yang menjadi klimaks penceritaan, wajar rasanya untuk saya merujuk definisi tragedi yang berakar umbi daripada tamadun Greek. Tragedi ialah salah satu genre drama yang mengutamakan penyampaian kesedihan yang sudahnya menjadi hiburan utama penontonnya. Tragedi dalam sesebuah cerita seharusnya menjadi kerangka asas penceritaan.
Justeru itu, apabila penulis meletakkan perkataan ‘tragedi’ pada judul, saya membayangkan suatu peristiwa malang akan menimpa watak-wataknya sekali gus menghadirkan kesan emosi yang dibawa oleh konotasi tragedi tersebut. Namun hal itu tidak berlaku. Mak Jiah tetap sihat wal afiat sehingga ke penghujung cerita. Tiada anak-anak atau cucu-cucu yang terkorban mahupun tercedera. Tragedi yang diungkapkan hanya berlegaran di butir mulut setiap watak. Kesedihan yang cuba ditonjolkan sekadar ungkapan bahasa tubuh masing-masing tanpa dramatisasi.
Namun, tetap diakui, jika mahu melihat aspek realisme, cerpen ini menggambarkan kepekaan pengarang terhadap adunan emosi watak-wataknya. Mak Jiah ialah suatu watak stereotaip orang tua yang merindui anak-anak dan cucu-cucunya. Tidak sukar untuk menebak rujukan pengarang untuk memunculkan karakter Mak Jiah yang contohnya boleh ditelusuri dalam cerpen-cerpen tempatan yang bertunjangkan nostalgia dan budaya.
Tertera juga unsur kearifan tempatan apabila sambutan tahun baharu digambarkan sepertimana sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, iaitu kegilaan bermain mercun berlangsung beberapa hari sebelum hari pelepasan yang diraikan. Barangkali, pengarang merujuk kepada budaya setempat yang rapat dengan pengarang yang membudayakan amalan bermain mercun seminggu sebelum perayaan tahun baharu dimulakan.
Namun, unsur kearifan tempatan ini juga boleh disanggah sekiranya pengarang sekadar menempel tabiat golongan muda menyambut perayaan berteraskan agama dan bangsa tertentu dengan mercun. Unsur kearifan tempatan sebegini boleh menghadirkan rasa janggal dalam kalangan pembaca kebanyakan yang lazimnya tidak pernah mendepani sambutan tahun baharu yang sedemikian rupa.
Oleh yang demikian, cerpen ini mempunyai ruang pembaikan yang mungkin boleh diterokai dan diterapkan oleh pengarangnya dalam penggarapan karya seterusnya kelak.
Pertama, kecermatan menggunakan terma selaku asas penceritaan. Seperti yang saya jelaskan pada perenggan awal tadi, perkataan ‘tragedi’ dalam penceritaan harus seiring dengan definisi yang dilazimi para penggiat sastera. Hal ini penting kerana penggunaan sesebuah terma pada judul boleh membentuk persepsi awalan dan jangkaan pembaca. Sebaliknya, penggunaan terma, dalam cerpen ini merujuk perkataan tragedi, akan menjadi kerugian kepada pengarang apabila semangat dan kekuatan perkataan itu tidak mengimani penceritaan. Akibatnya, persepsi awalan pembaca akan runtuh dan menjurus pada ketidakcapaian piawaian jangkaan pembaca, sekali gus menyebabkan sesebuah karya itu mendatangkan kekecewaan pembacaan. Kecermatan menggunakan terma dan pemahaman terhadap kekuatan makna sesebuah perkataan khusus ini hanya boleh dipupuk melalui pembacaan berterusan yang diladeni kecintaan pada subjek Linguistik.
Kedua, sesebuah cerpen itu hanya berkesan garapannya andai diladeni hasrat seorang pengarang, yakni menyampaikan sebuah cerita dengan penuh kesungguhan. Hal ini menuntut minat mendalam pengarang terhadap seni penceritaan yang menjadi dorongan kepada pengarang untuk menghasilkan karya yang lebih baik dari semasa ke semasa. Andai kata pengarang punya iltizam seumpama ini, tidak sukar untuk saya bayangkan tragedi yang menimpa keluarga Mak Jiah sekali gus menghadirkan kesan dramatik yang diharapkan. Pengarang juga punya pilihan sama ada menghadirkan tragedi sepertimana judulnya, ataupun menghasilkan kejutan luar jangka dengan menggunakan tragedi selaku alatan. Namun, untuk menghasilkan sebuah cerpen tragedi yang pintar menggunakan non-tragedi selaku plot, memerlukan kefahaman menyeluruh terhadap makna tragedi itu. Dalam erti kata lain, pengarang yang mahu bereksperimen haruslah terlebih dahulu arif benar dengan alatan fiksyen yang hendak digunakan.
Ketiga, terdapat garis kabur antara penggunaan unsur kearifan tempatan dengan aplikasi peristiwa non-rasional. Pengarang harus sedar sekiranya budaya moden seperti amalan bermain mercun beberapa hari sebelum tahun baharu itu turut diraikan di tempat-tempat lain. Menyedari kewujudan unsur kearifan tempatan akan menimbulkan kesedaran dalam diri pengarang untuk memperincikan perihal budaya janggal, yakni bermain mercun beberapa hari sebelum tahun baharu supaya kejanggalannya tidak mengganggu pembacaan. Transisi golongan muda Kampung Tuo dalam sambutan tahun baharu sepertimana masyarakat di tempat lain tidak digambarkan asbabnya dengan nyata lantas menghasilkan keraguan terhadap kesahihan budaya ini. Bukan sekadar bermain mercun, pengarang telah menyebut tentang amalan bermain mercun dan meriam di Kampung Tuo sempena menyambut tahun baharu yang sudah berubah. Bedilan meriam dan mercun tidak lagi berdentum pada malam tahun baharu, tetapi sudah bermula beberapa hari sebelum itu. Logik fiksyennya barangkali akan jadi lebih kukuh sekiranya transisi tradisi meletupkan mercun dan bedilan meriam ini diperjelaskan pengarang dengan mengambil kira faktor yang mencetuskan perubahan tersebut.
Harus diingatkan bahawa aplikasi peristiwa non-rasional dalam sesebuah fiksyen harus diperkukuh dengan logik fiksyen. Sebagai contoh, pengarang mungkin boleh mengatakan bahawa amalan bermain mercun beberapa hari sebelum tahun baharu itu sudah menjadi budaya generasi muda di seluruh negara setelah berlakunya suatu peristiwa fiktif, ditambah dengan penerangan rinci yang meyakinkan.
Tema kritikan sosial jelas terpampang dalam cerpen ini. Watak utamanya, Mak Jiah, mempertikaikan amalan bermain mercun tanpa sebarang rasa hormat pada orang sekitar. Meskipun ada kematian di kawasan kejiranan, kumpulan pemain mercun itu tetap meneruskan aktiviti bermain mercun tanpa mempedulikan perasaan keluarga si mati yang masih berkabung. Kritikan sosial melalui watak Mak Jiah yang tidak diiringi pemikiran, akan menjadi tidak lebih sekadar leteran seorang tua yang tidak mampu mengikuti perubahan zaman.
Lalu bagaimana pengarang boleh menampakkan lagi dampak kritikan sosial supaya tidak kelihatan dangkal dan secara kreatif diadun?
Sesebuah kritikan sosial harus ditulis dengan merangkumkan gagasan perkaitan hal yang dikritik dengan kehidupan manusia yang terlibat secara menyeluruh. Fiksyen pula menuntut kreativiti supaya gagasan luas ini dipersembahkan dalam bentuk paling ringkas dengan pemilihan kata-kata padat makna meskipun susunan ayatnya ringkas dan ekonomi. Pengarang harus merenung lebih dalam konteks kebencian Mak Jiah terhadap amalan bermain mercun secara semberono tersebut. Mendefinisikan kritikan akan menuntut kita menyenaraikan hujah-hujah kukuh yang ditambak rasional dan kajian ke atas rantaian maklumat yang terbukti sahih.
Lalu bagaimana kritikan sosial boleh berfungsi dalam cerpen “Tragedi Tahun Baru” ini?
Berbalik pada cerpen ini, kita dimaklumkan bahawa kebencian Mak Jiah ini berasaskan masalah kesihatannya. Bunyi letupan mercun yang mengejutkan itu berpotensi menjerumuskan watak itu ke dalam masalah besar. Hal ini cuba dibuktikan pengarang dengan menghadirkan tragedi yang berlaku terhadap bapa salah seorang pemain mercun yang dipercayai mati akibat terkejut setelah terdengar bunyi letupan mendadak.
Dimensi kritikan itu kini terlihat pada dua perkara, yakni isu kesihatan warga emas yang boleh terjejas akibat kejutan bunyi letupan mercun dan juga isu kemerosotan budaya hormat-menghormati antara warga emas dan warga muda. Untuk menjadikan kritikan sosial itu lebih berkesan, pengarang harus melapik dua dimensi kritikan ini dengan pertelingkahan yang dramatik. Akibat ketandusan budaya hormat-menghormati tidak begitu ketara memandangkan watak si anak, Ucik begitu menghormati ibunya Mak Jiah. Tidak pula ditunjukkan pertelingkahan antara watak Joni dengan bapanya yang juga berusia. Kesan emosi antara watak amat penting demi menyerlahkan elemen kritikan sosial tersebut.
Empat ruang pembaikan dikesan dalam cerpen ini. Lalu bagaimana pula dengan kekuatan sedia ada pengarang?
Pengarang mahir mengawal perpanjangan naratif secara alami. Adakah perkara ini benar ataupun kebetulan? Kemahiran ini belum dipertontonkan lagi konsistensinya kerana saya belum berpeluang lagi membaca cerpen-cerpen lain ditulis pengarang untuk melihat polanya.
Perpanjangan naratif ini diselia pengarang sesudah sesuatu karya itu siap draf pertama. Usai draf pertama, pengarang boleh menanamkan beberapa soalan mengenai karya tersebut sebelum memulakan suntingannya. Apakah perkataan yang paling banyak berulangan? Bagaimanakah cara untuk mengurangkannya? Adakah deskripsi watak dan latar berulangan? Maka sesi mencantas dan menulis semula beberapa ayat supaya sedap dibaca akan berlangsung. Mengawal perpanjangan naratif menuntut pembacaan berkali-kali. Pada ketika inilah stamina pembacaan diteliti. Ia ibarat menyertai maraton dengan kawalan stamina supaya garisan penamat berjaya dicapai dalam waktu yang ditetapkan.
Di samping itu, garapan karakter setiap watak juga agak baik. Dialognya punya dinamik dengan memperlihatkan perbezaan usia watak-watak yang terlihat kemas dalam gaya pertuturan yang berbeza-beza. Tidak sukar untuk pembaca masuk ke dalam rumah Mak Jiah sambil mendengar perbualan ahli-ahli keluarga itu dan memahami keluh-kesah yang mereka rasai.
Menarik serasanya jika Laila Ahniaw mencuba landskap penceritaan dengan watak-watak lebih rencam. Memandangkan cerpen ini berkitar sekeliling watak utamanya, Mak Jiah, saya seolah-olah melihat pengarang memerihal biodata watak itu dengan rinci sebelum mengarangnya. Memperincikan karakter sesuatu watak menuntut pengarang untuk menuliskan biodata watak itu seandainya ia tidak berlandaskan mana-mana individu yang pengarang kenali. Namun, lebih mudah mengadaptasi watak individu yang dikenali supaya garapan wataknya lebih berkesan.
Kesimpulannya, cerpen ini digarap secara teknikal dengan baik, tetapi menuntut pembaikan supaya menjadi sebuah cerita yang malar segar di dalam kepala pembaca. Kesederhanaan konflik yang diwujudkan begitu remeh dan mudah dilupai. Tragedi yang menjadi klimaks penceritaan tidak menghadirkan kesan dramatik sekali gus mewujudkan situasi antiklimaks pada pengakhiran lantas mewujudkan suatu pembacaan yang cetek pengalamannya.