Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pelajar USM wakili Malaysia pada pertandingan roket di AS
  • PENDIDIKAN

Pelajar USM wakili Malaysia pada pertandingan roket di AS

Utusan Sarawak 10 hours ago
MENTERI Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (hadapan, tengah) bergambar bersama para pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Majlis Kecemerlangan Akademik dan Perasmian Naik Taraf Padang Sekolah di SMK Taman Pelangi hari ini. Foto BERNAMA

NIBONG TEBAL: Sekumpulan 10 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia untuk memacu inovasi Malaysia kepada tahap lebih tinggi apabila bakal menyertai International Rocket Engineering Competition 2026 (IREC 2026) di Midland, Texas, Amerika Syarikat (AS) dari 15 hingga 20 Jun ini.

Pasukan yang dikenali WAU Rocketry USM itu akan mewakili negara bersama satu lagi pasukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam satu daripada pertandingan roket antara universiti terbesar dunia, yang menghimpunkan pelajar dari seluruh dunia untuk mereka bentuk, membina dan melancarkan roket.

Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, Ketua Pasukan P. Vymarleena Avriel, 23, berkata roket APEX-1 yang dibangunkan untuk mencapai ketinggian 10,000 kaki akan bersaing dalam kategori Commercial Off The Shelf (COTS).

APEX-1 ialah roket penyelidikan berkuasa tinggi yang lebih kompak dan sesuai untuk pertandingan kejuruteraan akademik, namun masih memerlukan reka bentuk, simulasi dan ujian yang rapi.

“IREC 2026 sebenarnya adalah pertandingan kejuruteraan yang melibatkan pelancaran roket dan disertai pelajar dari seluruh dunia. Kami lancar roket dan bersaing,” katanya.

ANTARA 10 pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia membawa inovasi Malaysia ke tahap lebih tinggi apabila bakal menyertai International Rocket Engineering Competition 2026 (IREC 2026) di Midland, Texas, Amerika Syarikat dari 15 hingga 20 Jun ini. Foto BERNAMA

“Saya boleh katakan berdasarkan prestasi pasukan dan kemajuan teknikal dan kejuruteraan, saya amat yakin dan berharap sekurang-kurangnya dapat berada dalam kelompok lima terbaik, malah kami yakim berupaya mencatat pencapaian lebih baik,” katanya kepada Bernama di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Kampus Kejuruteraan USM di sini.

Sebagai peserta tunggal wanita dalam pasukan, Vymarleena Avriel berkata persediaan ke IREC mengambil masa hampir setahun, bermula dengan proses permohonan secara dalam talian yang memerlukan reka bentuk berbantukan komputer (CAD), simulasi serta laporan teknikal terperinci.

Pertandingan itu melibatkan beberapa fasa penilaian termasuk Preliminary Design Report (PDR), Critical Design Review (CDR) dan Flight Readiness Review (FRR) sebelum pasukan dibenarkan melakukan  pelancaran.

Pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Aeroangkasa itu berkata untuk menyeimbangkan antara komitmen akademik dan projek antara cabaran terbesar pasukan.

SEBAHAGIAN 10 pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia membawa inovasi Malaysia ke tahap lebih tinggi apabila bakal menyertai International Rocket Engineering Competition 2026 (IREC 2026) di Midland, Texas, Amerika Syarikat dari 15 hingga 20 Jun ini.. Foto BERNAMA

“Kebanyakan kami ialah pelajar tahun ketiga yang mempunyai jadual padat, masa kami berada di makmal lama dan sehingga lewat malam, malah ketika cuti semester kami tetap berada di kampus,” katanya.

Selain cabaran teknikal, Vymarleena Avriel berkata kekangan kewangan turut menjadi halangan besar, justeru pasukan itu giat mendapatkan penajaan daripada syarikat, agensi kerajaan dan pemain industri, serta berjaya memperoleh sebahagian dana sambil terus berusaha menampung baki kos.

“Sebagai pasukan pelajar, pembiayaan antara cabaran terbesar kami, bukan sahaja untuk komponen roket tetapi juga perbelanjaan perjalanan ke Amerika Syarikat,” katanya yang bercita-cita menjadi angkasawan.

Disebabkan sekatan peraturan di Malaysia, roket itu akan dipasang di dalam negara, kemudian dibuka semula untuk dihantar ke AS, sebelum dipasang kembali di sana, dan enjin yang tertakluk kepada peraturan ketat akan dipasang sebelum pelancaran.

Sementara itu, penyelia projek Dr Chang Wei Shyang memuji disiplin dan kemajuan yang dicapai  pasukan itu dan menyifatkan penyertaan dalam pertandingan seperti IREC memberikan kesan yang cukup besar melebihi aspek akademik.

“Kami pernah meraih tempat ketujuh pada 2022, dan bertanding sekali lagi pada 2023, namun selepas itu tidak dapat menghantar pasukan berikutan kekangan kewangan dan cabaran mendapatkan pelajar cemerlang untuk meneruskan usaha ini.

PENYELIA Projek Dr Chang Wei Shyang (kiri) dan Ketua Pasukan WAU Rocketry P. Vymarleena Avriel ketika ditemubual bersama Bernama di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Bagaimanapun, kumpulan baharu ini mempunyai semangat yang tinggi untuk meneruskan projek itu. Saya dapat melihatnya daripada kesungguhan dan disiplin mereka dalam menyiapkan tugasan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan …,” katanya.

Chang yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM itu berkata pencapaian pasukan berkenaan membuktikan keupayaan pelajar, sekali gus menunjukkan Malaysia mampu bersaing dengan universiti terkemuka dunia selain mencerminkan kemajuan teknologi negara.

Beliau berkata semakin ramai pelajar di negara ini berminat dalam bidang aeroangkasa, menyaksikan pertambahan enrolmen dan peluang industri, termasuk lebih 300 syarikat berkaitan aeroangkasa.

Untuk rekod, WAU Rocketry USM sebelum ini meraih tempat ketiga dalam Kategori Antarabangsa A4 pada Pertandingan Roket Teknofest 2025 di Aksaray, Turkiye selepas berjaya melancarkan roket Hebat-3.

Enam peserta pasukan itu termasuk Vymarleena Avriel turut menyertai program mobiliti antarabangsa di Hochschule Stralsund, Jerman, sekali gus memperoleh pengalaman praktikal dalam pembuatan enjin roket hibrid.

Pasukan itu turut disertai Lim Wiky, Danish Irfan Saiful Nizam, R. Krishna Baniel, Aizad Aizal Abdul Aziz, K. Aditteya, Muhammad Hafiz Hakimy Gazali, Muhammad Farhat Mohd Sharipa, M. Saravanan, dan S. Loganraj.- Bernama

Continue Reading

Previous: SPM: Anak luar bandar mampu bersaing, ADUN Kabong bangga pencapaian SMK Kabong
Next: SJKC Kwang Chien bina model roket Artemis II cetakan 3D, semarakkan minat STEM murid

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.