

Ahmedabad, India, manakala gambar kanan, keadaan ekor pesawat Air India yang berada di atas bumbung asrama kolej perubatan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad. Foto Central Industrial Security Force (CISF)/ AFP.
NEW DELHI: Kesemua 242 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Air India yang terhempas sejurus setelah berlepas dari bandar Ahmedabad, India, hari ini, disahkan maut, lapor akhbar tempatan Indian Express memetik sumber polis.
Nahas tragis itu membabitkan penerbangan menuju ke London, United Kingdom (UK).
Dalam pada itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memaklumkan bahawa pihaknya sedang berhubung dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) susulan nahas pesawat Air India itu.
Pihak berkuasa menyifatkan nahas berkenaan sebagai antara bencana penerbangan paling buruk dalam sejarah India.
Berikut adalah beberapa insiden nahas pesawat lain yang pernah berlaku di India, beberapa tahun kebelakangan ini:
Ogos 2020 – Seramai 21 orang maut apabila pesawat Boeing 737 milik Air India Express tergelincir dari landasan ketika hujan lebat di bandar Kozhikode, selatan India, lalu terjunam ke dalam gaung dan terhempas dengan muncung terlebih dahulu ke tanah.
Mei 2010 – Penerbangan Air India dari Dubai terbabas dari landasan di Lapangan Terbang Mangaluru dan terhempas ke dalam gaung, mengorbankan 158 orang di dalam pesawat.
Julai 2000 – Lebih 50 orang terkorban apabila pesawat Alliance Air milik kerajaan yang dalam perjalanan dari Kolkata ke New Delhi terhempas di kawasan perumahan di Patna, timur India.
April 1993 – Sebuah pesawat Boeing 737 milik Indian Airlines terhempas ketika berlepas di bandar Aurangabad, membunuh 55 orang di dalamnya.
Ogos 1991 – Sebuah penerbangan Indian Airlines dari Kolkata terhempas berhampiran ibu negeri Manipur, Imphal, menyebabkan kesemua 69 penumpangnya maut.
Oktober 1988 – Lebih 130 orang terbunuh apabila pesawat Boeing 737 milik Indian Airlines yang dalam perjalanan dari Mumbai ke Ahmedabad terhempas ketika cuba mendarat.
Januari 1978 – Kesemua 213 penumpang sebuah penerbangan Air India maut apabila juruterbang dipercayai hilang kawalan selepas berlepas dan pesawat itu terjunam ke Laut Arab berhampiran pantai Mumbai. – Agensi