
SIBU: Tragedi yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas terjatuh ke dalam pembentung terbuka baru-baru ini harus menjadi peringatan penting kepada semua pihak agar lebih peka terhadap aspek keselamatan di tempat awam.
Pemangku Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Wilayah Sarawak, Lucas Lau berkata, kejadian menyayat hati itu menyerlahkan keperluan pengawasan rapi terhadap kanak-kanak kecil yang lazimnya belum mampu mengenal pasti bahaya tersembunyi di sekeliling mereka.
“Setiap individu berhak menikmati persekitaran yang selamat dan sihat. Ini adalah hak asasi manusia yang perlu diberi penekanan serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keselamatan tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh termasuk dalam kalangan individu, keluarga, komuniti dan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, pematuhan terhadap piawaian keselamatan merupakan asas utama dalam membina komuniti yang sejahtera dan bebas risiko.
“Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memainkan peranan penting dalam menangani segera sebarang bahaya yang dikenalpasti di kawasan masing-masing,” katanya.
Lau menegaskan, keselamatan akan lebih terjamin sekiranya wujud kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti yang proaktif dalam mengenal pasti, memantau serta melaporkan kebimbangan berkaitan keselamatan di kawasan sekitar mereka.
MTPN, katanya, sedia bekerjasama dengan MPS dan masyarakat setempat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sihat di Sibu.
Sebagai penghubung antara komuniti dan pihak berkuasa, MTPN komited untuk terus menggalakkan perbincangan terbuka dan kerjasama melalui pelbagai jalinan strategik, kempen kesedaran serta penglibatan masyarakat.
“Inisiatif ini bertujuan mendorong penyertaan awam dan meningkatkan kepekaan terhadap isu-isu keselamatan. Kita semua perlu berganding bahu mencegah tragedi seumpama ini daripada berulang,” tegas beliau.
Oleh Tarani Lanting