TANJUNG MANIS: Keluasan pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot nelayan karam pada hari kedua adalah seluas 20.20 batu nautika.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Wong Pak Wei, berumur 30 tahun, warganegara tempatan.
“Berdasarkan maklumat daripada salah seorang mangsa yang selamat, mereka telah dibadai rebut sekitar 6.30 petang, kelmarin (3 April) dan mengakibatkan bot yang dinaiki, terbalik.
“Kelima-lima mangsa yang selamat sempat memakai jaket keselamatan dan berapung sehingga dijumpai bot nelayan berhampiran.
“Pakaian terakhir mangsa dimaklumkan oleh mangsa yang selamat adalah berseluar pendek,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media bertempat di Jeti LKIM, pagi tadi.
Katanya, pada 12.40 tengah hari semalam (4 April), kelima-lima mangsa dilaporkan telah dijumpai dan selamat di atas bot nelayan pada jarak lebih kurang 8 batu nautika dari posisi bot karam iaitu berdekatan Pantai Belawai.
Seorang lagi mangsa, katanya, tidak kelihatan, dikhuatiri berpecah daripada kumpulan tersebut.
“Lima mangsa yang selamat terdiri daripada dua warganegara tempatan, dua warganegara Indonesia dan seorang warganegara Myanmar dan kesemua mangsa adalah lelaki.
“Setakat 10.00 pagi ini (hari ini), pasukan SAR masih belum menemui sebarang petunjuk berkenaan mangsa yang dicari.
“Keluasan pencarian pada hari ini adalah seluas 20.20 batu nautika,” ujarnya.
Jelasnya, pencarian melibatkan empat buah aset tim penyelamat dari Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Untuk makluman, kita juga turut merancang untuk membuat selaman di lokasi bot karam dengan bantuan pasukan penyelamat di air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Sibu sekiranya cuaca mengizinkan.
“Pencarian juga turut dibantu oleh tiga bot nelayan tempatan dengan kekuatan pegawai dan anggota bertugas di lokasi seramai 50 orang,” katanya.
Maritim Malaysia pada masa sama mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.
Oleh EARL ANEK