KUCHING: Impian untuk mendirikan rumah tangga pada 27 Disember ini musnah apabila tunang kepada Norainaa Arbi, iaitu Majurie Maharuf, salah seorang mangsa tragedi bot karam di Sungai Sarawak, ditemukan lemas bersama empat rakannya.
“Segala persiapan sudah diatur, bahkan tempahan pelamin juga telah dibuat oleh arwah. Namun, hasrat kami untuk bersatu tidak kesampaian,” kata Norainaa Arbi, tunang kepada arwah Majurie.
Menurut perancangan awal pasangan ini, mereka dijadualkan bernikah di rumahnya di Kampung Penakub Hulu, Mukah pada 28 Disember, disusuli di rumah pengantin lelaki di Kampung Baru, Balingian pada 29 Disember.
Namun, Majurie, 32, dari Balingian, tidak sempat merealisasikan impiannya. Norainaa, 30, yang menetap di Mukah, berkata Majurie bertugas di Kuching, menyebabkan mereka tidak berjumpa selepas pertunangan.
“Dia tidak sabar menunggu hari bahagia kami. Kali terakhir saya menerima mesej daripadanya ialah sebelum solat Jumaat, memaklumkan dia akan menyertai latihan lumba perahu,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS).
Selain Majurie, empat lagi rakannya yang turut terkorban dalam tragedi Jumaat lalu ialah Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Mohamad Khairul Bidin, 26; dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.
Norainaa, yang bergegas ke Kuching sebaik menerima berita tersebut, berkata dia dan arwah sudah lama saling mengenali sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah.
Hubungan mereka menjadi serius pada 2021 sebelum Majurie menghantar rombongan meminangnya awal tahun ini.
Jenazah Majurie telah dibawa pulang ke Kampung Baru Balingian untuk dikebumikan selepas selesai bedah siasat hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Khairul Hisham, yang baru sahaja bertunang dengan Nur Nazwa Anizan Bujang, 23, pada Ahad lalu, juga sedang merancang perkahwinan.
Bakal bapa mentuanya, Bujang Sulai, 64, berkata mereka merancang untuk mengadakan majlis nikah selepas abang Nur Nazwa yang bertugas di Perak melangsungkan perkahwinannya bulan depan.
“Kami reda dengan pemergiannya, namun amat terkesan apabila mayatnya ditemukan tepat seminggu selepas pertunangan,” kata Bujang.
Nur Nazwa, yang masih terkejut dengan kejadian itu, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas pengsan sebaik menerima berita kemalangan tersebut.
“Saya harap dia dapat menerima ketentuan ini dengan tabah, walaupun amat sukar, lagi-lagi baru sahaja bertunang,” tambahnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT