
BEKENU: Tradisi berkunjung ke rumah terbuka pada setiap perayaan di Sarawak, termasuk Gawai Dayak, merupakan waktu keemasan untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum dan agama.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus menyifatkannya sebagai satu jambatan perpaduan yang harus terus dibina untuk memahami antara satu sama lain.
“Berkunjung seperti ini bukan sahaja dilakukan semasa Gawai, Aidilfitri, dan Tahun Baharu Cina, malah pada masa Krismas juga kita tidak ketinggalan untuk terus mengunjungi rumah rakan-rakan yang beragama Kristian.
“Pada sambutan Gawai ini, kita dapat melihat budaya kaum Dayak seperti tarian dan pakaian tradisional. Begitu juga semasa Aidilfitri, yang mana orang ramai boleh menyaksikan cara umat Islam merayakannya serta mengenali budaya Melayu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian semasa menghadiri sambutan pada hari pertama Gawai di rumah setiausaha sulitnya, William Changgan, di Miri.
Sementara itu, William Changgan berkata, rakyat Sarawak harus berbangga dengan keharmonian antara kaum yang diwarisi sejak turun temurun dan ia harus diteruskan malah dieratkan lagi.
“Keharmonian kaum mesti terus dipupuk, ia merupakan kekuatan kita, inilah antara landasan terbaik bagi rakyat bertemu dengan pemimpin negeri serta masyarakat selain beramah mesra serta meraikan kepelbagaian perayaan secara bersama-sama,” katanya.
Turut hadir, Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim, Penghulu Pui Kuan Phen dan para ahli Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Cawangan Bekenu.
Oleh Adum Liu