
KUALA LUMPUR: Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak mengambil kesempatan pulang ke kampung dan membuat persiapan lebih awal bagi memastikan perayaan Hari Krismas esok diraikan dalam suasana tenang dan selesa dengan menjunjung semangat kekeluargaan serta amalan tradisi.
Tinjauan Bernama mendapati persiapan sambutan diatur dengan teliti termasuk merancang perjalanan pulang lebih awal sama ada menggunakan pengangkutan awam atau memandu sendiri, selain memilih keluar membeli keperluan Krismas pada waktu pagi bagi mengelakkan kesesakan.
Di SARAWAK, seorang suri rumah Jelumi Lakun, 21, yang baru menimang cahaya mata lelaki kira-kira seminggu lepas, bersama adik iparnya mengambil peluang pulang ke rumah panjang mereka di Kanowit dengan menaiki bas bagi meraikan Krismas bersama keluarga dan sanak saudara tersayang.
Ketika ditemui di Terminal Bas Kuching Sentral, Kuching, ibu muda daripada kaum Iban itu berkata dia memutuskan untuk pulang ke kampung pada saat akhir demi memenuhi permintaan ibunya untuk berkumpul bersama adik-beradik lain di samping meneruskan tempoh berpantang.
“Saya memang tidak sabar pulang ke kampung untuk berkumpul bersama keluarga memandangkan kami jarang dapat peluang sedemikian.
“Saya sempat membuat pelbagai persediaan dan hari ini ditemani adik ipar bagi perjalanan kira-kira enam jam bersama bayi dari Kuching ke Sibu sebelum meneruskan perjalanan ke Kanowit. Saya yakin perjalanan akan berjalan lancar memandangkan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) sudah siap,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Larry Enteba Langgong, 23, yang juga berbangsa Iban berkata tugasan akademik termasuk projek tahun akhir tidak menghalangnya pulang ke rumah panjang di Saratok untuk menyambut Krismas bersama keluarga.
Larry yang berasal dari Rumah Makup Nangga Lempa, Kabo, Saratok, berkata dia bernasib baik kerana berjaya mendapatkan tiket bas biarpun membelinya di saat akhir, selain menyatakan tidak sabar berjumpa ahli keluarga selepas sekian lama tidak pulang ke kampung kerana sibuk dengan kelas.
“Untuk sampai ke Saratok mengambil masa tiga atau empat jam sebelum meneruskan perjalanan 46 minit lagi ke rumah panjang,” kata pelajar Program Linguistik, Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi itu.
Tinjauan di terminal bas juga mendapati keadaan agak lengang memandangkan ramai telah pulang ke kampung lebih awal, dengan sebahagian memilih memandu sendiri berikutan keadaan jalan raya yang baik serta tempoh perjalanan lebih singkat melalui LPB.
Di SABAH, seorang guru, Chris Wee Kia Kee, 50, bersama isterinya memilih untuk keluar membeli-belah persiapan Krismas seawal 10 pagi bagi mengelakkan kesesakan.
Wee yang pulang dari Melaka ke rumah isterinya di Penampang berkata mereka keluar sekitar 9.30 pagi bagi memastikan urusan membeli-belah berjalan lancar tanpa gangguan trafik.
“Masa kami keluar sejam lepas kereta tidak banyak tetapi sekarang sudah sesak,” katanya ketika ditemui di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang dengan di dalam kenderaannya dipenuhi barangan untuk sambutan Krismas.
Sementara itu, penjawat awam Rose Marie Rogellio, 45, memilih membuat persiapan Krismas secara sederhana namun tetap mengekalkan tradisi dengan berkumpul bersama ahli keluarga dan bertukar-tukar hadiah. -Bernama