
BEKENU: Program gotong-royong ‘ngelupis’ anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Terahad berlangsung meriah dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, di sini hari ini.
Program ‘ngelupis’, yang membawa maksud membungkus kelupis secara beramai-ramai dalam bahasa Kedayan, merupakan tradisi turun-temurun yang menjadi sebahagian penting daripada persiapan bagi majlis Makan Tahun.

Ribuan kelupis disediakan melalui aktiviti gotong-royong ini sebagai juadah wajib untuk majlis tersebut, yang dijadualkan berlangsung esok dan dijangka dihadiri oleh ribuan penduduk dari sekitar Bekenu.
Majlis seperti ini lazimnya diadakan selepas musim menuai sebagai tanda kesyukuran atas hasil padi yang diperoleh.
Di Bekenu, setiap kampung masyarakat Kedayan akan menganjurkan majlis Makan Tahun, dengan kemuncaknya ialah Majlis Makan Tahun Perdana yang diadakan secara bergilir-gilir antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu dan Lambir.
Setiap kali menjelang majlis Makan Tahun, Datuk Rosey Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, pasti turun padang bersama rombongan bagi membantu penduduk menjalankan aktiviti ‘ngelupis’.
Kerja ‘ngelupis’ memerlukan tenaga ramai kerana ia melibatkan pelbagai tugas penyediaan, termasuk memasak ratusan kilogram beras pulut, mengukus ribuan kelupis, mencari kayu api (walaupun ada juga yang menggunakan gas), menyediakan daun pembungkus kelupis, serta memecahkan ratusan biji kelapa tua bagi mendapatkan santan, dan lain-lain.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sharkawi Suhaili, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Subis Kaunselor Samli Tinggal, Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim dan ahli jawatankuasa Gerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu.
Oleh Adum Liu