
SRI AMAN: Tradisi kunjung-mengunjung atau ‘ngabang’ yang menjadi kelaziman masyarakat Sarawak setiap kali musim perayaan, terus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di Parlimen Sri Aman.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata amalan turun-temurun itu tetap diraikan bersama keluarga, rakan dan jiran tetangga tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Perpaduan seperti ini wajar terus dipelihara kerana ia mencerminkan toleransi dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya semasa melakukan rumah terbuka Gawai Dayak di kediamannya dekat sini semalam.
Doris berkata, budaya ‘ngabang’ sudah lama menjadi kebiasaan dalam masyarakat di negeri ini termasuk di Daerah Sri Aman, malah ia kekal diamalkan hingga kini.
“Sambutan perayaan di Sarawak sering menjadi medan untuk memperlihatkan betapa rakyat negeri ini hidup harmoni dalam kepelbagaian budaya,” katanya.
Beliau berkata, suasana seperti itu juga mencerminkan nilai hormat-menghormati serta kerjasama erat antara masyarakat, terutama ketika perayaan utama.
Oleh Adi Safarman