
PADAWAN: Majlis Penutupan Perayaan Gawai Dayak 2025 di Kampung Biya Assum berlangsung dengan penuh adat dan tradisi apabila disempurnakan dengan upacara simbolik ‘merun kasah’ atau ‘menggulung tikar rotan’, menandakan berakhirnya musim Gawai bagi komuniti Bidayuh Biya di kawasan tersebut.
Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Biya Assum hari ini dianjurkan oleh Kelab Belia dan Rekreasi serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Biya Assum dan disertai lebih 200 penduduk kampung.
Ia dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan tradisional yang menggambarkan keunikan warisan masyarakat Bidayuh.
Tetamu kehormat, Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil hadir menyempurnakan upacara penutupan rasmi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya pemeliharaan adat resam seperti “merun kasah” sebagai lambang penghormatan kepada warisan nenek moyang.
“Tradisi seperti ini bukan sekadar simbolik tetapi ia mencerminkan nilai budaya yang mendalam dan patut terus dikekalkan serta diajarkan kepada generasi muda.” Katanya.
Menurut beliau, sambutan Gawai bukan sahaja berfungsi sebagai perayaan budaya tetapi juga berpotensi menjadi platform untuk memperkenalkan adat dan gaya hidup masyarakat Bidayuh kepada masyarakat luar.
Malah, beliau mencadangkan agar sambutan Gawai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong dianjurkan secara bergilir mulai tahun 2026 bagi memperkenalkan kepelbagaian suku Bidayuh kepada pelancong serta rakyat tempatan.
Upacara ‘merun kasah’ yang dijalankan sebagai penutup rasmi Gawai bukan sahaja menandakan berakhirnya musim menuai, tetapi juga menyatukan komuniti dalam semangat kekitaan dan penghargaan terhadap adat resam yang diwarisi turun-temurun.
–UKAS