
BATU NIAH: Tradisi mendirikan telur merupakan antara amalan unik yang masih dikenali dalam masyarakat Tionghoa dan sering dikaitkan dengan simbol tuah, keseimbangan serta harapan untuk memperoleh nasib baik.
Walaupun kelihatan sederhana, amalan ini mempunyai nilai budaya yang diwarisi turun-temurun dan terus menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, beliau pada awalnya terkejut dan sukar mempercayai perkara itu, meskipun pernah mendengar mengenainya sebelum ini.
“Apabila saya dijemput oleh Penghulu Pui Kuan Phen untuk menyaksikan acara itu tepat pada 12.00 tengah hari, saya sendiri melihat telur ayam tersebut berdiri tegak tanpa sebarang sokongan.
“Ketika itulah saya benar-benar percaya bahawa kejadian itu memang berlaku. Inilah antara keunikan budaya masyarakat Tionghoa di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Batu Niah hari ini.

Sementara itu, Penghulu Pui berkata, dalam budaya Tionghoa, tradisi ini paling kerap dikaitkan dengan sambutan Perayaan Kuih Chang.
“Masyarakat dahulu percaya bahawa pada hari-hari tertentu, kedudukan alam dan tenaga semula jadi berada dalam keadaan seimbang, sekali gus memudahkan telur didirikan secara tegak tanpa memerlukan sokongan.
“Kejayaan mendirikan telur dianggap sebagai petanda baik dan membawa keberuntungan kepada individu yang melakukannya.
Ketika Perayaan Kuih Chang, ramai keluarga Tionghoa akan mencuba mendirikan telur tepat pada waktu tengah hari,” katanya.
Tambahnya, aktiviti ini bukan sahaja menjadi satu bentuk hiburan tradisional, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila ahli keluarga bersama-sama mencuba dan berkongsi kegembiraan apabila telur berjaya ditegakkan.
“Walaupun secara saintifik telur boleh didirikan pada bila-bila masa sepanjang tahun, tradisi ini tetap mempunyai nilai budaya yang istimewa dalam masyarakat Tionghoa kerana melambangkan keharmonian, ketekunan dan harapan untuk kehidupan yang lebih baik.
“Hari ini, tradisi mendirikan telur terus menjadi salah satu warisan budaya yang menarik untuk diperkenalkan kepada generasi muda, sekali gus memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian adat dan kepercayaan yang menjadi sebahagian daripada khazanah budaya masyarakat majmuk di negara ini,” jelasnya.
Oleh Adum Liu