Tradisi marhaban, selawat perlu diwarisi generasi muda

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berucap di majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1448H/2026M Bahagian Sarikei di Dewan Masjid Al-Muttaqin, semalam. Foto Pusat Khidmat Kuala Rajang

SARIKEI: Tradisi marhaban dan selawat perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda agar kecintaan terhadap Rasulullah SAW kekal subur merentas generasi.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, generasi muda bukan sahaja perlu mengenali Rasulullah SAW, malah menghayati dan mencontohi akhlak Baginda dalam kehidupan.

“Saya juga berharap tradisi marhaban dan selawat seperti ini akan terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda, agar mereka bukan sahaja mengenali Rasulullah SAW, tetapi turut mencintai dan mencontohi Baginda.

“Biarlah pertandingan ini berakhir, tetapi selawat terus bergema. Biarlah pentas ini ditinggalkan, tetapi kecintaan kepada Rasulullah SAW terus hidup dalam hati kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1448H/2026M Bahagian Sarikei di Dewan Masjid Al-Muttaqin, semalam.

DATUK Len Talif Salleh bergambar bersama tetamu-tetamu jemputan, para peserta dan orang ramai yang hadir menyaksikan Pertandingan Marhaban. Foto Pusat Khidmat Kuala Rajang

Katanya, pertandingan tersebut berjaya menghimpunkan penyertaan dari beberapa bahagian di Sarawak.

“Saya bersyukur kerana Bahagian Sarikei dipilih sebagai Tuan Rumah penganjuran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1448H / 2026M. 

“Saya dimaklumkan bahawa penyertaan pada tahun ini melibatkan beberapa bahagian di Sarawak. Antaranya Bahagian Kuching, Kota Samarahan, Betong, Sibu dan Miri. Terima kasih datang ke Bahagian kamek orang pada hari ini,” katanya.

Tambahnya, penglibatan dan komitmen peserta menerusi alunan marhaban dan selawat menyerlahkan semangat kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW, selain memperkukuh ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat Islam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan nilai pertandingan tersebut tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kemenangan atau keputusan yang diperoleh peserta.

“Apa yang lebih utama ialah nilai kecintaan kepada Rasulullah SAW, ukhuwah dan semangat kebersamaan yang kita rasakan pada hari ini terus dibawa pulang dan diteruskan dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas kesungguhan dan komitmen mereka, selain berharap kejayaan yang diraih pemenang menjadi dorongan untuk terus menyumbang kepada pengimarahan syiar Islam.

“Kepada yang belum berjaya, janganlah berputus asa. Jadikan pengalaman hari ini sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan terus melibatkan diri dalam program-program yang membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Len Talif turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, LAKISRI, panel hakim, urus setia serta semua pihak yang menjayakan pertandingan tersebut.

“Sesungguhnya, kejayaan sesuatu program bukan hanya hasil usaha mereka yang berada di atas pentas, tetapi turut disumbangkan oleh semua pihak yang bekerja di belakang tabir,” ujarnya.

Beliau berharap semangat yang dicetuskan menerusi pertandingan tersebut tidak berakhir selepas program, sebaliknya diteruskan dalam keluarga, masjid, surau dan masyarakat.

“Pertandingan ini mungkin berakhir pada malam ini, tetapi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya berakhir bersama tirainya. 

“Marilah kita terus menghidupkan selawat, memperkukuhkan ukhuwah dan mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan,” katanya.

Oleh Earl Anek