Mungkin namanya kedengaran pelik tetapi tradisi Berlanggar Meja merupakan salah satu daripada keunikan yang berlaku di kampung-kampung di Daerah Kecil Igan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Acara ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh penduduk dan dianjurkan setiap tahun, biasanya pada hari kelima Hari Raya. Sebenarnya, tradisi ini mempunyai persamaan dengan `pot luck party’ yang biasa diadakan di Barat.
Mengikut sejarahnya, tradisi ini dimulakan oleh oleh kumpulan kecil orang kampung yang berpakaian rapi menziarahi rumah sesama penduduk untuk menggalak, memantap dan mempereratkan lagi hubungan silaturrahim sambil menikmati juadah tempatan yang dihidang semasa Hari Raya Aidilfitri.
Difahamkan bahawa tradisi ini dimulakan pada awal tahun 1920-an semasa era Charles Brooke. Tradisi ini juga dijadikan untuk mempromosi perpaduan dan kerjasama di antara penduduk di sana, selain memaparkan kekayaan budaya dan tradisi tempatan, terutama makanan yang menjadi identiti Igan.
Namun tradisi itu terhenti dari tahun 1944 hingga 1945 kerana penaklukan Jepun, dan dihidupkan semula oleh orang-orang kampung pada 1946 apabila British mengambil alih tanah Melayu dari tentera negara Matahari Terbit tersebut.
Untuk menjayakan majlis ini, meja-meja akan diatur dan disusun sepanjang jalan atau tempat jalan kaki dan dipenuhi dengan pelbagai hidangan. Setiap rumah pula bertanggungjawab menyedia akan menyumbangkan sekurang-kurangnya satu juadah untuk dihidangkan.
Pembaharuan demi pembaharuan diperkenalkan untuk acara tradisi ini. Untuk majlis Berlanggar Meja dalam milenia baharu terutama sejak 2003, perayaan unik ini mulai dianjurkan oleh lima kampung di Igan secara bergilir-bergilir.
Kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Baru Ismail, Kampung Sekerang, Kampung Pulau and Kampung Baru Dagang dan Kampung Tengah. Biasanya setiap kampung akan mengadakan majlis Berlanggar Meja peringkat kampung dari hari pertama hingga hari keempat Hari Raya sebelum Majlis Berlanggar Meja Igan ini diadakan.
Setiap kali majlis ini berlangsung, meja-maja disusun memanjang sehingga 1.5 kilometer di jalan raya oleh penganjur dan juadah yang dihidangkan juga semakin banyak dan pelbagai menunya untuk menjamu tetamu dari kampung-kampung yang lain yang datang.
Saban tahun kemeriahan majlis ini semakin terasa dan tradisi ini terus dipertahankan dalam kalangan penduduk Igan yang kini melebihi 6,000 orang.
Menariknya, setiap kali majlis ini diadakan, ia menggamit kehadiran warga luar Igan untuk sama-sama menyaksikan kemeriahan majlis ini. Biasanya, para pengunjung luar datang dari daerah lain seperti Daro, Belawai, Matu, Mukah dan Dalat.
Selain menikmati makanan yang dihidangkan, pengunjung-pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan pentas seperti nasyid, deklamasi puisi, bacaan Al-Quran dan pelbagai aktiviti sesuai dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut sebahagian yang pernah menyertai Majlis Berlanggar Meja Igan, majlis seperti ini juga diadakan di tempat lain di Sarawak tetapi tidak semeriah dan seunik majlis yang diadakan di Igan.
Hanya sahaja, sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, majlis tahunan ini sudah dua tahun tidak dilangsungkan demi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menjaga keselamatan semua.
Justeru apabila pandemik ini berakhir dan tradisi Berlanggar Meja ini dapat dianjurkan kembali, ia akan terus mempopularkan daerah kecil yang penduduknya majoriti Islam dan digelar Mini Kelantan ini.
Oleh HENRY B SIYU