
KOTA SAMARAHAN: Tradisi ‘begulu’ atau lebih dikenali sebagai ‘ngabang’ Gawai terus dimartabatkan oleh belia Kampung Entingan sempena sambutan Gawai Dayak 2025.
Tradisi yang sinonim dengan kunjung-mengunjungi semasa musim perayaan itu bertujuan untuk mempererat silaturahim sesama penduduk kampung.
Selain menyemarakkan suasana Gawai, inisiatif ini turut menjadi platform untuk merapatkan jurang antara generasi muda dan warga emas.

Menurut Penghulu Kampung Entingan, Dunstan Rectaker, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, khususnya dalam kalangan belia.
“Kegiatan seperti ini sangat penting untuk menggalakkan anak-anak muda bergaul serta menghargai nilai perpaduan dan semangat kekitaan dalam komuniti,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut berlangsung baru-baru ini.
Beliau turut menambah bahawa program ini membuka peluang kepada penduduk yang bekerja di bandar untuk bertemu semula dengan sanak saudara dan rakan-rakan lama apabila mereka pulang bercuti sempena Gawai.
Penglibatan aktif belia dalam menjayakan program ini turut dilihat sebagai langkah positif dalam memupuk dan melestarikan adat serta budaya masyarakat Dayak agar terus dihargai oleh generasi akan datang.
Oleh Norman B.