

MUSNAH… Keadaan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbakar pada bahagian enjin dalam kejadian di Kampung Kayu Kapur, di sini awal pagi tadi.
BEKENU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux terbakar pada bahagian enjin dalam kejadian di Kampung Kayu Kapur, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Rary Binjie ketika dihububgi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 7.50 pagi.
“Pasukan BBP Batu Niah yang diketuai PBK I Raymond Sigan bersama empat anggota digerakkan ke lokasi sejauh 28 kilometer. Jentera tiba pada 8.27 pagi.
“Siasatan awal mendapati kebakaran yang berlaku pada 3.00 pagi itu disedari oleh ibu pemanggil selepas terdengar bunyi penggera kereta.
“Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan oleh pemilik kenderaan bersama tiga jiran menggunakan air paip sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kebakaran melibatkan kira-kira 40 peratus bahagian enjin kenderaan tersebut.
“Pasukan tiba di lokasi terus melakukan pemeriksaan rapi di sekitar enjin dan bahagian dalam kereta untuk memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran berulang.
“Tiada operasi pemadaman dilakukan kerana api telah dipadamkan lebih awal oleh orang awam,” katanya.
Operasi kawalan berakhir pada 8.55 pagi dan tamat sepenuhnya pada 9.35 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Adum Liu