
LOS ANGELES: Filem animasi terbitan Disney dan Pixar, “Toy Story 5”, mengungguli kutipan filem di Amerika Utara selepas meraih AS$160 juta dalam tempoh tiga hari pertama tayangannya, menurut data firma pengukuran Comscore yang dikeluarkan pada Ahad, lapor Xinhua.
Filem itu merupakan siri kelima francais Toy Story terbitan Pixar dan sekuel kepada “Toy Story 4” yang ditayangkan pada 2019.
Di peringkat antarabangsa, “Toy Story 5” meraih kutipan sebanyak AS$152 juta, menjadikan jumlah kutipan global pada minggu pembukaannya mencecah AS$312 juta.
Karya animasi itu turut memperoleh penarafan kelulusan 94 peratus berdasarkan 217 ulasan setakat ini di laman pengumpulan ulasan Rotten Tomatoes.
Selain itu, ia menerima gred “A” daripada penonton hasil tinjauan firma penyelidikan pasaran CinemaScore menerusi skala penilaian “A+” hingga “F”.
Di tempat kedua ialah filem fiksyen sains terbitan Universal Pictures, “Disclosure Day”, dengan kutipan AS$17 juta pada minggu kedua tayangannya.
Sejak ditayangkan 10 hari lalu, filem itu telah mengutip US$78.3 juta di Amerika Utara.
Melengkapkan kelompok tiga teratas ialah filem seram bertaraf R terbitan Focus Features, “Obsession”, yang meraih kutipan AS$14.2 juta pada minggu keenam tayangannya. – Bernama