Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tourism Malaysia lancar pakej baharu Sarawak Delta Geopark
  • SEMASA

Tourism Malaysia lancar pakej baharu Sarawak Delta Geopark

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR hiasan.

KUCHING: Tourism Malaysia melancarkan pakej pelancongan baharu bagi menyokong pencalonan Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun depan.

Pakej Sarawak Delta Geopark Volum 2 yang baru dilancarkan menawarkan 42 itinerari yang direka oleh 13 pengendali pelancongan untuk mempamerkan kekayaan alam semula jadi dan budaya yang luar biasa di rantau ini.

“Dirangka oleh 13 operator pelancongan dari Sarawak, pakej-pakej ini mempamerkan formasi geologi unik, kepelbagaian flora dan fauna, aktiviti pengembaraan yang mengujakan, pengalaman budaya serta keunikan gastronomi.

“Pakej-pakej ini menjadi tarikan utama ketika Sarawak Delta Geopark bersiap sedia untuk pencalonan UNESCO Global Geopark pada 2026,” menurut kenyataan itu.

Tourism Malaysia memaklumkan pembangunan pakej berkenaan mewakili kerjasama strategik antara agensi itu dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, selaras dengan visi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) untuk memperkasakan pelancongan lestari dan berasaskan budaya. 

Antara destinasi menarik yang ditonjolkan termasuk Kampung Budaya Sarawak dan Taman Negara Bako di Kuching; Rizab Alam Gua Angin dan Peri serta Labirin Batu Paku di Bau; selain Homestay Annah Rais dan Kayak Sungai Semadang di Padawan.

Semalam, Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Inbound Sarawak (ASIA), Lembaga Pelancongan Sarawak dan Business Events Sarawak menganjurkan Jelajah Jom Ke Sarawak di Kuala Lumpur, yang menampilkan 22 wakil daripada industri pelancongan Sarawak.

Objektif utama jelajah itu ialah untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi utama bagi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), yang diserlahkan melalui sesi khusus perniagaan ke perniagaan (B2B) bagi menghubungkan pemain industri Sarawak dengan pemain di wilayah tengah.

Majlis pelancaran itu dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Samuel Lee Thai Hung, Pengerusi ASIA Phillip Yong serta Ketua Unit Pengurusan Geopark Jabatan Perhutanan Sarawak Madeline George Pau.

Sementara itu, Tourism Malaysia melaporkan prestasi menggalakkan dalam ketibaan pelancong, dengan Malaysia menerima 28.2 juta pelawat dari Januari hingga Ogos tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 14.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Begitu juga Sarawak yang menunjukkan daya tarikan kukuh, mencatatkan 3,599,656 ketibaan pelancong dari Januari hingga September 2025,” menurut kenyataan itu.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Peningkatan penyakit berjangkit, internet lemah dan gangguan bekalan asas dibangkitkan ADUN Tebedu
Next: Wanita di sebalik pemimpin: Warisan kasih, kesabaran arwah ibu diangkat anak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.