SEBAGAI warga sebuah negara yang merdeka dan bermaruah, pastinya apa-apa kejayaan serta pencapaian yang, sama ada dilakar, mahupun ditinta dalam sejarah tanah air, menimbulkan kebanggaan dalam nubari. Andai diimbau kembali, telah terakam pelbagai kejayaan bukan sahaja oleh rakyat negara, malah oleh pihak kerajaan dalam pelbagai bidang. Suatu pencitraan bahawa negara ini memiliki keupayaan untuk menempa nama dalam arena ‘persaingan’ global yang sememangnya sengit dan penuh cabaran.
Bukan sahaja kejayaan-kejayaan yang ditempa menjadi kebanggaan warganya, akan tetapi pencapaian sedemikian turut mampu menarik warga negara luar untuk berkunjung serta melihat sendiri keistimewaan serta keunikan yang terdapat dalam negara. Malah, para pembuat dasar serta pelabur asing pun turut ‘terpikat’ untuk, sama ada menjalinkan kerjasama, mahupun melabur dalam bidang pembuatan, penghasilan dan pelbagai cabang perindustrian lain yang mampu menganjak kepesatan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara.
Namun, ibarat kata pepatah, sering berlaku situasi yang ditamsilkan sebagai ‘sebab nila setitik, rosak susu sebelanga’. Pepatah yang menyiratkan maksud ‘hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan seseorang, sekumpulan atau seluruh masyarakat mendapat nama yang buruk’. Dengan mengambil tamsilan daripada peribahasa ini, apa-apa juga kejayaan yang ditempa selama ini, mampu tertirai atau musnah sama sekali akibat salah laku seseorang atau kumpulan orang tertentu. Situasi sedemikian sememangnya tidak dapat disangkal, apatah lagi seandainya salah laku berkenaan melibatkan individu yang berprofil tinggi, atau dalam istilah yang diguna pakai masa kini, ‘kluster kayangan’ atau ‘kluster jerung’. Bukan sahaja ahli keluarga, para kerabat, kroni serta masyarakat sekeliling mereka yang akan terasa, akan tetapi sebuah entiti yang bergelar negara, turut terkesan.
Demikianlah gambarannya apabila, Malaysia dilaporkan terus merekodkan penurunan dalam Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index (CPI) 2021, buat dua tahun berturut-turut. Kedudukan negara jatuh lima anak tangga dalam senarai ke kedudukan ke-62 daripada keseluruhan 180 negara yang dinilai. Menurut Dr. Mohammad Mohan, Presiden Transparency International Malaysia, pada tahun 2020, Malaysia berada pada kedudukan ke-57, manakala pada tahun 2019 pula, pada kedudukan ke-51.
Mungkin laporan sedemikian ini tidak sehangat penurunan kedudukan peserta yang ‘dipertandingkan’ dalam rancangan realiti televisyen untuk diperkatakan secara serius. Pun mungkin, masyarakat umum sudah muak serta jemu dengan pemaparan isu rasuah serta penyelewengan yang berpanjangan tanpa ada kesudahannya. Ataupun sudah hilang kepercayaan terhadap institusi perundangan. Apa-apapun sebab-musababnya, hal sedemikian itu hak masing-masing untuk memberikan persepsi dan penilaian.
Namun, pokok persoalannya adalah, kenapa berlakunya penurunan sedemikian? Wajar untuk ditanyai, atas sebab, hal sedemikian mampu merencat dan menjejaskan reputasi negara, khususnya dalam konteks negara sedang beriya-iya untuk menarik masuk pelaburan asing dalam negara sebagai langkah pemulihan ekonomi yang ‘merudum’ akibat penularan pandemik Covid-19. Menurut Mohammad Mohan, antara sebab penurunan skor penilaian termasuklah, tindakan yang sangat terhad kerajaan membendung aktiviti rasuah politik, di samping mengukuhkan hak asasi manusia. Selain itu, kurangnya kehendak atau kemahuan untuk memperbaharui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi antirasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggunjawab Parlimen.
Di samping itu, tafsiran yang terlalu longgar terhadap Akta Rahsia Rasmi yang membawa kepada kurangnya ketelusan dalam hal-hal melibatkan kepentingan awam, seperti kontrak rundingan secara langsung, melepaskan tanpa membebaskan sesetengah individu yang didakwa dalam kes-kes berprofil tinggi yang memberikan gambaran negatif terhadap sistem perundangan, serta laporan negatif mengenai salah laku dan tadbir urus yang lemah oleh pegawai kerajaan dalam laporan Ketua Audit Negara yang berulang tanpa tindakan tatatertib diambil.
Penjelasan berkenaan bukanlah pendedahan yang baharu, akan tetapi telah berulang kali berlaku. Walaupun pada mulanya terkesan kebersungguhan untuk membanteras salah laku berkenaan, akan tetapi, kesungguhan itu begitu cepat hakis, seakan-akan dihanyutkan landaan banjir kilat sewaktu musim tengkujuh. Hal yang menyedihkan, hari demi hari, sketsa salah laku sedemikian secara ‘penuh bangga’ diwara-warakan lewat sebaran berita dengan babak penutupnya telah diketahui umum.
Benar hal sedemikian itu berupa penilaian yang masih diragui kesahihannya, namun demikian, wajar untuk disantuni secara serius dan berhemah demi memastikan bukan sahaja keadilan ditegakkan, akan tetapi kewibawaan serta integriti kerajaan yang memerintah terserlah.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!