KUALA LUMPUR: Mengecapi dunia glamor dan kemudiannya mengharungi detik hitam selama lima bulan di sebalik tirai besi, pelakon terkenal Tony Eusoff mengakui masih lagi mengingati dengan jelas kebimbangan yang dirasainya sebaik bergelar ‘bekas banduan’.
Masih tersemat kukuh di dalam diri anak kelahiran Kuching, Sarawak ini pengalaman menjalani hukuman akibat penyalahgunaan dadah di penjara Admiralty West, Singapura, yang disifatkannya sebagai titik terendah dalam diari kehidupannya meskipun peristiwa itu sudah lebih tujuh tahun berlalu.
Kerana itu, pemilik nama penuh Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 47, ini begitu memahami trauma yang dihadapi oleh bakal banduan yang akan dibebaskan seusai menjalani hukuman untuk berhadapan dengan masyarakat yang umumnya sinikal terhadap golongan itu.
Tidak mahu mereka kembali terjebak dengan jenayah itu kerana ‘takutkan’ stigma masyarakat, pelakon filem Malbatt: Misi Bakara ini menjadikan tragedi hitam dan kehidupannya selepas keluar dari penjara sebagai panduan serta motivasi kepada banduan yang bakal dibebaskan.
“Saya bukan memberi kaunseling atau ceramah, cuma berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi kepada mereka, kerana saya sendiri pernah melaluinya. Saya anggap pengalaman di penjara itu seperti membayar hutang. Bila hutang sudah selesai, kita keluar (bebas),” katanya kepada media selepas pelancaran siri Original Unifi “DinTiger”, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata yang penting ialah membaiki diri dan memulakan kehidupan baharu.
Pada April 2016, Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Tony selepas didapati bersalah memiliki dadah terkawal kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Bagaimanapun aktor ini hanya menjalani hukuman selama lima bulan 10 hari sebelum dibebaskan kerana berkelakuan baik.
Menyifatkan insiden itu berpunca daripada “kenakalan” dan “kebodohan” diri sendiri, Tony mengakui hingga ke hari ini beliau masih diselubungi rasa bersalah dan tidak dapat melupakan saat orang tuanya menangis tatkala mendengar dirinya dipenjarakan.
“Ketika ditahan, saya bukannya muda, sudah berusia 38 tahun dan sepatutnya boleh membezakan baik dan buruk. Waktu itu saya bukan sahaja takut tetapi juga rasa sangat bersalah terhadap ibu. Saya masih ingat ketika memeluk ibu buat kali terakhir sebelum ke penjara, air matanya menitis.
“Sebagai seorang anak, tiada perkara yang lebih menyedihkan daripada melihat ibu menangis kerana kesalahan kita. Itu yang menyedarkan saya dan membuatkan saya berazam untuk menjadi lebih matang,” katanya.
Ditanya tentang kes terkini melibatkan beberapa orang pelawak ditangkap memiliki dadah, Tony menasihati masyarakat agar tidak menghakimi seseorang tanpa mengetahui kisah sebenar.
“Cabaran hidup setiap orang berbeza. Kita tidak tahu apa masalah mereka, jadi, sebaiknya kita serahkan kepada undang-undang (untuk mengadili mereka),” katanya.– BERNAMA