
PANTU: Pertandingan Bintang Kecil Piala Datuk Mong bagi sekolah-sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan telah diadakan dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Selepong, kelmarin.
Pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat dan potensi nyanyian dalam kalangan murid-murid sekolah rendah serta memberi ruang kepada mereka untuk menonjolkan bakat di pentas terbuka sejak usia muda.
Ia turut menjadi platform penting untuk memupuk semangat keyakinan diri, keberanian serta disiplin dalam kalangan peserta.

Program tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada sekolah-sekolah di sekitar DUN Bukit Begunan dengan penyertaan murid-murid yang berbakat dan kreatif dalam persembahan masing-masing.
Keunikan suara dan persembahan peserta menjadi tumpuan utama sepanjang pertandingan berlangsung.
Majlis turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, guru besar, guru pengiring serta warga pendidik yang memainkan peranan penting dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada para peserta. Kehadiran ibu bapa dan komuniti setempat juga menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Mong berkata pertandingan ini bukan sekadar sebuah acara hiburan semata-mata, malah menjadi simbol usaha berterusan dalam memperkasa pembangunan sahsiah murid serta memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah, guru dan komuniti.
“Penganjuran pertandingan ini juga merupakan inisiatif murni dalam menyokong dasar pendidikan yang holistik, seiring dengan hasrat membentuk generasi muda yang seimbang dari segi akademik dan bakat.
“Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, serta kepada semua peserta yang berani tampil mempersembahkan bakat mereka di hadapan khalayak ramai,” katanya.
Mong turut menzahirkan ucapan penghargaan yang turut ditujukan kepada semua guru pengiring serta penganjur yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.
“Semoga pertandingan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai bintang kecil dari kawasan DUN Bukit Begunan,” jelasnya.
Oleh Adi Safarman