
DARO: Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) melahirkan rasa kesal terhadap insiden vandalisme melibatkan kemudahan awam apabila sebuah tong sampah yang baharu disediakan untuk kegunaan penduduk didapati rosak selepas keempat-empat tayarnya dilaporkan hilang.
Menurut MDMD dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, tong sampah berkenaan baharu ditempatkan kurang daripada sebulan lalu sebagai sebahagian usaha pihak berkuasa tempatan meningkatkan kebersihan dan kemudahan asas komuniti setempat.
“Tong sampah tersebut dibeli menggunakan peruntukan awam untuk manfaat bersama, namun tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak telah menjejaskan kemudahan itu serta menyusahkan penduduk,” menurut kenyataan itu.
MDMD menegaskan bahawa perbuatan merosakkan kemudahan awam bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah menafikan hak masyarakat untuk menikmati kemudahan yang disediakan.
Sehubungan itu, pihak majlis mengingatkan orang ramai agar bersama-sama memelihara harta awam serta tidak mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.
MDMD turut menggesa penduduk supaya tampil menegur atau melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menyaksikan sebarang perbuatan vandalisme, bagi memastikan kemudahan awam dapat terus digunakan dan dijaga dengan baik.
“Menjaga kemudahan awam adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan dan imej komuniti,” katanya.
Oleh Tarani Lanting