
Api marak membakar kawasan hutan di Karya Indah, wilayah Riau, Indonesia. – Foto AFP
SUMATERA: Wilayah barat Indonesia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tertinggi apabila kebakaran terus marak di hutan dan tanah gambut serata Sumatera.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari berkata, keadaan cuaca panas dan kering meningkatkan risiko, terutama apabila kadar hujan kurang dengan ketara di sebahagian besar Sumatera.
Dua daerah di wilayah Sumatera Barat iaitu Solok dan Lima Puluh Kota mengisytiharkan darurat pada 22 Julai, kerana lebih banyak tompok panas dilaporkan di sana.
Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Sumatera Barat, Ilham Wahab, memberitahu Xinhua, semua 14 daerah di Solok dilanda kebakaran hutan.
Sementara itu, kebanyakan kebakaran di Lima Puluh Kota di Sumatera Barat adalah di cerun yang sudutnya 70 darjah hingga 90 darjah, sekali gus menyukarkan anggota bomba untuk sampai ke kawasan berkenaan.
Ilham berkata helikopter yang menggunakan air dan bahan pemadam api untuk memadamkan kebakaran masih belum dikerahkan ke Sumatera Barat kerana kebanyakan usaha memadam kebakaran kini sedang diarahkan ke wilayah Riau dan Sumatera Selatan.
Lebih 140 kebakaran hutan dan tanah gambut dilaporkan di Riau di tengah Sumatera pada hujung minggu.
Rokan Hilir dan Rokan Hulu adalah dua daerah di wilayah itu yang paling teruk dilanda kebakaran, merangkumi kira-kira 46 hektar di sana, mengakibatkan pencemaran jerebu teruk di seluruh kawasan itu, yang mengurangkan jarak penglihatan kepada serendah satu kilometer (km).
“Sejumlah kawasan di Riau masih diliputi jerebu tebal pada 22 Julai, walaupun asap belum dilaporkan melanda ibu kota wilayah Pekanbaru,” kata timbalan ketua polis Riau, Adrianto Jossy Kusumo.
Bilangan titik panas di Sumatera melonjak daripada 94 kepada lebih 1,000 dalam 10 hari pada bulan Julai, menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia.
BNPB memberi amaran mungkin terdapat lebih banyak titik panas jika keadaan kering berterusan.
Pegawai pengurusan bencana telah cuba mengawal kebakaran hutan, antara lain dengan melakukan pembenihan awan untuk mendorong hujan.
Kebakaran hutan adalah masalah tahunan di Indonesia, yang merenggangkan hubungan dengan negara jiran.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, asap daripada kebakaran telah menyelubungi bahagian Indonesia, Singapura, Malaysia dan selatan Thailand.