

LOS ANGELES: Bintang Mission: Impossible, Tom Cruise, dilaporkan berusaha memulihkan hubungannya dengan bekas pemain bola sepak terkenal, David Beckham, terutamanya kerana hubungan Beckham dengan keluarga diraja Britain.
Menurut sumber, persahabatan mereka bermula pada 2007 apabila Beckham berpindah ke Los Angeles, dan Cruise membantu keluarga itu menyesuaikan diri dengan kehidupan di Hollywood.
Bagaimanapun, menurut sumber kepada Heat Magazine, walaupun David dan Victoria Beckham selesa berhubung dengan Cruise, pasangan itu lebih gemar pertemuan berskala kecil dan peribadi.
Sumber yang sama menambah bahawa pasangan Beckham kini jarang menghadiri acara sosial di London, manakala Cruise pula terkenal dengan kebiasaan menganjurkan sesi minum teh dan pertemuan santai bersama golongan elit di kota itu.
“Tom sering menjemput Beckham ke acara-acara tersebut, namun undangan itu kerap kali tidak diterima,” kata sumber itu.
Laporan menyatakan bahawa Cruise kini mempunyai lebih banyak masa selepas berpisah dengan Ana, dan berhasrat membina pengaruh kukuh di UK.
Walaupun terdapat khabar angin bahawa Cruise mendorong keluarga Beckham mendalami Scientology, Victoria tetap menjemput aktor itu ke sambutan ulang tahunnya yang ke-50 di London. – AGENSI