KUCHING: ‘Tolong, kamek terperangkap tok, api dah marak gilak’.
Itu antara kata-kata terakhir Aneeqa Affandi, 35, ketika menghubungi rakan sekerjanya lewat petang semalam.
Dia antara tiga mangsa yang maut dalam kebakaran bermula kira-kira jam 7.03 petang semalam membabitkan sebuah rumah konkrit dua tingkat di Kampung Gita.
Rakan sekerjanya yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka cuba menghubungi mangsa kembali tetapi telefon sudah tidak lagi berjawab.
Malah, seorang lagi rakan sekerjanya memberitahu, arwah juga sempat membuat panggilan video menunjukkan keadaan kebakaran dalam bilik rumah di tingkat atas sewaktu kebakaran.
“Biar video itu saya simpan sebagai kenangan, saya sedih sangat,” katanya.
Turut terkorban dalam kebakaran itu ialah bapa Aneeqa, Datu Affandi Keli, 69, seorang pesara dan anak buahnya, Nor Hasyidah Ajis, 22.
Affandi pernah bertugas sebagai Pengarah di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selain Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan.
Aneeqa yang berkelulusan dalam bidang pelancongan dari sebuah universiti di Perth, Australia bertugas di salah sebuah hotel di Jalan Nanas di sini.
Sumber ahli keluarga pula memberitahu, suami Aneeqa yang kini bertugas di Perth, dijangka pulang hari ini.
Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap.
“Hanya mangsa lelaki ditemui dengan sedikit kesan melecur di lengannya – berkemungkinan besar disebabkan serpihan api.
“Punca sebenar kematian masih perlu disahkan oleh Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (SGH),”katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran iaitu Lorong Bunga Tongkeng Kampung Gita, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kenyataan malam tadi menyatakan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.03 malam.
“Anggota bomba dari balai bomba Petra Jaya dan Batu Lintang berjaya memadamkan kebakaran kira-kira jam 8 malam.
“Ketika sedang memadamkan api, pihak bomba dimaklumkan terdapat tiga individu berada di dalam rumah tersebut.
“Sejurus api berjaya dikawal, mereka memasuki rumah berkenaan kira-kira jam 8.30 malam dengan menaiki tangga ke tingkat dua dan menemui salah seorang maut di dalam sebuah bilik pada jam 8.40 malam.”
Pencarian seterusnya membawa kepada penemuan dua lagi mangsa di tingkat atas rumah itu.