BELADIN: Rakyat Sarawak perlu menolak calon gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya memberi sokongan padu kepada semua 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di negeri ini.
Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata mereka perlu berbuat demikian lebih-lebih lagi PH kerana sejarah pahit dialami rakyat negeri ini ketika pemerintahan 22 bulan gabungan itu sebelum ini.
“Rakyat perlu ingat sejarah pahit yang ditinggalkan oleh PH semasa memegang tampuk pemerintahan,” katanya yang juga Timbalan Premier Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di bawah Inisiatif Baharu Penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Dewan Masyarakat Beladin, di sini, hari ini.
PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
PH yang pernah memerintah negara selama 22 bulan selepas PRU-14 pada 2018 dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). PH dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PH dan PN turut meletakkan calon untuk mencabar GPS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Awang Tengah berkata, GPS juga perlu mendapat sokongan padu rakyat Sarawak pada PRU-15 ini bagi memastikan Sarawak dapat menuntut peruntukan yang lebih besar.
Katannya, Sarawak berhak untuk menerima agihan peruntukan yang lebih besar dari Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan infrastruktur yang lengkap di wilayah ini.
“Sebab itu GPS perlu menang besar termasuk calon muka baharu GPS di Parlimen Batang Lupar ini, iaitu Mohamad Shafizan Kepli. Saya meminta penduduk di sini untuk memberi sokongan.
“Harus diingat apabila kita menang besar, suara wakil kita akan lebih lantang termasuk memperjuangkan agihan peruntukan yang lebih besar, yang sememangnya menjadi hak Sarawak sebagai salah satu wilayah yang membentuk Malaysia,” katanya.
Beliau juga mengingatkan parti politik yang bertanding supaya tidak memainkan isu kaum dan agama.
“Sarawak stabil kerana rakyatnya bersatu dan bekerjasama. Kita ada lebih kurang 40 suku kaum dan harus diingat, tiada satu kaum yang boleh memerintah secara solo di Sarawak melainkan ada kerjasama.
“Begitu juga isu agama, jangan sesekali diapi-apikan dan seandainya kita terpengaruh, maka rakyat akan berpecah,” katanya.
Pada majlis ityu, beliau menyampaikan 50 surat hak milik tanah kepada 39 penerima bagi kawasan Entebu-Selambong/Muton serta menyerahkan 37 surat hak milik tanah kepada 35 penerima bagi kawasan Sungai Bras, Beladin.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, bekas Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim dan calon GPS, Mohamad Shafizan Kepli.
Oleh RYNNA SHA’ERRA