SIBU: Beberapa kaedah sudah dirancang untuk penyelesaian masalah banjir di Kampung Hijrah secara berperingkat, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapa’ee.
Menurutnya, kerajaan negeri sejak dua tahun lalu sudah mula melakukan kerja penyukatan tanah di kawasan Kampung Hijrah, yang merupakan langkah terawal untuk penyelesaian masalah banjir di kawasan tersebut.
Katanya lagi, antara langkah jangka masa pendek dan segera adalah membersihkan parit dan menaikkan jalan sementara di kawasan tersebut.
“Kemudian, kerajaan negeri menyerahkan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada penduduk kampung.
“Untuk tujuan ini, setakat ini, seramai 32 penduduk di blok D, sudah menerima TOL masing-masing. Untuk penerima TOL ini, mereka perlu membina rumah di tapak tanah mereka dalam tempoh lima tahun.
“Tanah ini tidak boleh dijual kerana tujuan kerajaan memberi TOL adalah untuk membolehkan penduduk bina rumah sendiri,” katanya.
Peringkat seterusnya, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi berkata, kerajaan negeri akan membina kemudahan infrastruktur yang lengkap di kawasan kampung tersebut.
Jelas beliau, selepas tanah diserahkan kepada penduduk, barulah mudah kerajaan membina infrastruktur seperti menaiktaraf sistem perparitan dan jalan raya di lot-lot tanah penduduk.
“Blok D sudah selesai disukat, kerajaan negeri telah meluluskan dana RM780,000 untuk membina parit dan jalan raya bertar ke rumah-rumah penduduk yang tinggal di dalam Blok D kampung ini.
“Dengan penjelasan ini, sekurang-kurangnya kini penduduk akan dapat gambaran apa yang sedang dirancang dan apa yang sudah dilaksanakan untuk penduduk di Kampung Hijrah Sibu,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad