SIMANGGANG: Sememangnya tidak dinafikan bahawa kewujudan Tokong Ciyun Sri Aman telah menghiasi kawasan tebingan Sungai Batang Lupar dalam bandar ini sejak dari dahulu hingga sekarang.
Selain bertindak sebagai penghias tebingan Sungai Batang Lupar, pusat ibadat kaum Cina berkenaan juga turut berfungsi sebagai ‘nadi’ kepada acara perarakan dewa-dewi bersempena dengan perayaan Chap Goh Mei dalam bandar ini pada setiap tahun.
Namun, di sebalik kepentingannya terhadap dua perkara tersebut, Tokong Ciyun Sri Aman juga tidak terlepas daripada satu masalah yang mengancam kewujudan pusat ibadat itu pada masa sekarang iaitu hakisan tebingan sungai.
‘Hentaman’ benak telah menghakis kawasan kedudukan belakang Tokong Ciyun itu sehingga pihak pengurusannya iaitu Kesatuan Soon Heng Simanggang terpaksa berjuang untuk mencari dana bagi mengatasi masalah itu sebelum ini.
“Mujur Kerajaan Sarawak bertindak menyalur peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada pihak kesatuan kami bagi mengatasi masalah itu.
“Peruntukan itu akan dapat menampung sebahagian daripada kos bagi membina benteng hakisan pada bahagian hadapan tokong kami di tebingan Sungai Batang Lupar,” kata Timbalan Pengerusinya, Temenggong Kueh Aik Seng.
Selain ‘menyelamatkan’ Tokong Ciyun, pembinaan benteng itu nanti kata beliau juga secara tidak langsung akan dapat membantu melancarkan perlaksanaan projek pembinaan laluan pejalan kaki di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar di sini.
“Penyaluran peruntukan UNIFOR ini secara tidak langsung menambah nilai keindahan tebingan Sungai Batang Lupar walaupun sejumlah RM800,000 diperlukan bagi mengatasi masalah hakisan di tokong ini.
“Bagaimanapun, kewujudan Tokong Ciyun Sri Aman dan pembinaan laluan pejalan kaki di Jalan Main Bazaar perlu dikekalkan supaya sambutan Pesta Benak di sini menjadi lebih menarik pada masa akan datang,” kata beliau.
Kueh menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana bersetuju meluluskan peruntukan UNIFOR berjumlah RM300,000 juga kepada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang sebelum ini.
“Terima kasih juga Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang kerana membantu kami mendapatkan peruntukan itu,” kata beliau.
Terdahulu, Harden menerusi sesi dialog di Pejabat Residen Sri Aman pada Rabu lalu menyerahkan cek UNIFOR tersebut Pengerusi Kesatuan Soon Heng Simanggang, Tay Chiew Hua.
Oleh VALENTINE NGUMBANG