
KUCHING: Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jawatankuasa Persidangan Antarabangsa Seni Gunaan dan Kreatif (ICACA) 2026 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Delegasi berkenaan diketuai Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit yang hadir bagi menyampaikan jemputan kepada Toh Puan Fauziah untuk merasmikan persidangan tersebut yang dijadual berlangsung di Experimental Theatre, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS pada 23 September tahun depan.
Persidangan antarabangsa itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September 2026 dan menghimpunkan ahli akademik, penyelidik serta penggiat industri kreatif dari dalam dan luar negara.

ICACA yang mula diperkenalkan pada 2006 merupakan platform dwitahunan yang memberi tumpuan kepada perkembangan ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam bidang seni gunaan serta seni kreatif melalui kerjasama pelbagai institusi pendidikan tinggi dan rakan strategik.
Bagi edisi 2026, persidangan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Seni Indonesia Yogyakarta, dengan tema Mencipta Bersama Masa Depan Mampan dalam Teknologi Seni Gunaan dan Kreatif.
Turut mengiringi kunjungan tersebut ialah Dekan FSGK, Dr Louis Ringah Kanyan, Pengerusi ICACA 2026, Dr Laura Prati serta Timbalan Pengerusi ICACA 2026, Dr Mawar Suhaila dan Dr Jong Sze Hoon. – UKAS