Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • TNB perkukuh sokongan pendidikan untuk pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara
  • NASIONAL

TNB perkukuh sokongan pendidikan untuk pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara

Utusan Sarawak 5 hours ago
PELAJAR menerima bantuan persekolahan menerusi program Ceria Ke Sekolah yang bertujuan meringankan beban keluarga B40. Foto TNB

KUALA LUMPUR: Walaupun ramai ibu bapa melihat perbelanjaan persekolahan sebagai beban bermusim pada awal tahun akademik, namun realitinya bagi ribuan keluarga berpendapatan rendah, masalah kewangan tetap berterusan meskipun selepas sesi pendaftaran berakhir.

Menggantikan kasut dan pakaian seragam yang lusuh sehinggalah menyediakan alat tulis, cermin mata serta keperluan harian, kos tersembunyi menjadi cabaran sepanjang tahun kepada kebanyakan isi rumah.

Menyedari hakikat itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh inisiatif komuniti berfokuskan pendidikan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan berpeluang untuk terus bersekolah dengan selesa dan yakin.

Inisiatif seperti program Ceria Ke Sekolah, Program Sekolah Angkat Pintar, dan Program Sekolah Amanah bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan, malah meningkatkan keyakinan, motivasi dan pendedahan pelajar di luar bilik darjah.

Pendidik yang terlibat dalam program berkenaan berkata sokongan yang diberikan mungkin kelihatan kecil, namun impaknya amat besar kepada pelajar, khususnya daripada komuniti kurang mendapat  perhatian.

Guru Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Othman Ibnu Affan (Siraj Suba) Bandar Tun Razak, Umair Kelsom berkata inisiatif Ceria Ke Sekolah membantu pelajar mengharungi cabaran yang boleh menjejaskan pengalaman pembelajaran mereka.

“Saya amat menghargai inisiatif Ceria Ke Sekolah yang menyokong kanak-kanak kurang berkemampuan dan membantu mereka mengatasi kekangan kewangan untuk merealisasikan potensi diri. Inisiatif seperti ini wajar diperluas bagi memberikan manfaat kepada lebih ramai pelajar dan keluarga yang memerlukan,” katanya.

Sebelum ini dikenali sebagai program Kembali Ke Sekolah, program Ceria Ke Sekolah diperkenalkan bagi membantu keluarga B40 meringankan beban perbelanjaan persekolahan dengan menyediakan keperluan asas seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Sejak 2013, inisiatif itu telah memanfaatkan lebih 86,000 keluarga termasuk di Sabah dan Sarawak. Selain menyediakan keperluan persekolahan, program pembangunan pelajar juga dilihat sama penting dalam memupuk keyakinan, kepimpinan dan pembangunan sosial dalam kalangan kanak-kanak di kawasan luar bandar dan komuniti kurang diberikan perhatian.

Guru Sekolah Kebangsaan Kerunai di Gerik, Khalidah Ahmad menyifatkan Program Sekolah Angkat Pintar sebagai inisiatif yang memberikan pendedahan penting kepada pelajar di luar persekitaran pembelajaran biasa mereka.

“Program Sekolah Angkat Pintar ialah inisiatif menarik dan mencabar, yang menyediakan peluang berharga kepada pelajar untuk berinteraksi dengan rakan baharu, meneroka tempat baharu dan menimba pengalaman. Program ini amat bermanfaat kepada pertumbuhan dan perkembangan mereka,” katanya.

Diperkenalkan pada 2007, Program Sekolah Angkat Pintar, inisiatif Khazanah Nasional, menumpukan kepada penambahbaikan peluang pembelajaran bagi pelajar dan komuniti di kawasan luar bandar menerusi aktiviti sokongan akademik, kem motivasi, latihan sukan dan program kepimpinan.

Inisiatif yang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2035 itu telah memberikan manfaat kepada lebih 4,000 pelajar daripada 66 sekolah rendah di seluruh negara.

Sementara itu, Wan Naimah dari Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun, berkata aktiviti yang dijalankan menerusi program berkenaan membantu meningkatkan keyakinan dan kualiti kepimpinan pelajar di dalam serta luar bilik darjah.

“Program Sekolah Angkat Pintar amat bermanfaat dalam memupuk kemahiran kepimpinan pelajar dan meningkatkan keyakinan mereka di dalam serta luar bilik darjah. Kem yang dianjurkan memberi pengalaman pembelajaran berharga dengan pelajar menunjukkan peningkatan ketara serta menantikan sesi akan datang,” katanya.

Selain itu, Program Sekolah Amanah yang dilancarkan pada 2017 menerusi kerjasama TNB, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan AMIR ialah satu lagi inisiatif bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan yang terpilih.

Program berkenaan menumpukan kepada penambahbaikan pembelajaran pelajar menerusi latihan guru, pengurusan sekolah yang lebih baik serta penambahbaikan kawasan sekolah.

Sebanyak lapan sekolah di Klang dan Kuala Lumpur; Manjung, Perak; Jeli, Kelantan serta Dungun, Terengganu telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Selain program sokongan pendidikan, TNB turut menyumbang cermin mata percuma kepada lebih 1,000 pelajar di seluruh negara menerusi program Better Brighter Vision.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu pelajar kurang berkemampuan memperoleh akses pendidikan yang lebih baik serta meneruskan pembelajaran dalam persekitaran lebih kondusif.

Di luar sokongan akademik, inisiatif seperti ini turut mencerminkan usaha berterusan bagi memastikan kanak-kanak daripada latar belakang rentan tidak tercicir akibat kekangan kewangan atau peluang yang terhad.- Bernama

Continue Reading

Previous: Ghairah muat naik video kejadian jenayah boleh jejas siasatan polis – Pengarah JPJKK
Next: Kunyah sirih kian dilupakan generasi muda Orang Asli

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.