USAHASAMA STRATEGIK… Kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak memperoleh kapasiti kabel dasar laut segera dalam menangani permin- taan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan jalur lebar. Ia juga memberikan TM Wholesale akses kepada sambungan yang pelbagai dan laluan alternative menghubungkan Malaysia ke seluruh dunia, di samping mengoptimumkan kapasiti kabel dasar laut sedia ada TM Wholesale. Selain itu, ia juga membuka ruang untuk TM Wholesale meneroka pendekatan kos efektif untuk projek pelaburan kabel dasar laut akan datang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan rantau ini.
KUALA LUMPUR: Cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa Telekom Malaysia Bhd (TM), TM Wholesale, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Telin, anak syarikat PT Telkom Indonesia, untuk usahasama strategik dan meneroka peluang perniagaan kabel dasar laut bersama.
Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak memperoleh kapasiti kabel dasar laut segera dalam menangani permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan jalur lebar.
“Ia juga memberikan kami akses kepada sambungan yang pelbagai dan laluan alternatif yang menghubungkan Malaysia ke seluruh dunia, di samping mengoptimumkan kapasiti kabel dasar laut sedia ada kami.
“Selain itu, ia juga membuka ruang untuk kami meneroka pendekatan paling kos efektif untuk projek pelaburan kabel dasar laut akan datang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Telin Budi Satria Dharma Purba berkata, syarikat itu teruja untuk bersama-sama meneroka peluang dalam aktiviti membeli, menjual, menaik taraf dan melabur, terutamanya dalam hal-hal berkaitan kabel dasar laut.
“Penyertaan Telin dalam ketersambungan global bertumpu pada memastikan ketersambungan yang boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan internet pantas yang semakin melonjak berikutan trend semasa seperti pengaturan kerja yang fleksibel, penstriman video dan permainan.
“Kami percaya bahawa kerjasama ini akan memenuhi keperluan semua pihak yang berkepentingan dengan sewajarnya,” katanya.
Pada masa ini, TM mempunyai 30 sistem kabel dasar laut yang dimiliki mahupun dipajak, menjangkau lebih 320,000 kilometer di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Telin mempunyai 22 sistem kabel dasar laut, dimiliki dan dipajak, melebihi 222,260 kilometer.- Bernama