EDISON Chang memeriksa tanamannya di dalam Struktur Pelindung Hujan pada masa terluang.
Siapa kata jadi petani tidak punya masa untuk perkara lain terutama melakukan hobi, bersantai di hujung minggu atau mengembara ke serata dunia? Petani pintar Edison Chang, 34, dan Yuan Amat, 54, membuktikan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja aktiviti lain tetapi dalam masa yang sama tetap ‘ke kebun’ untuk menguruskan tanam-tanaman.
Edison misalnya, menguruskan lebih 5,+000 pokok Golden Melon serta tanaman lain seperti daun sup, Terung Dayak dan sebagainya tetapi beliau masih ada masa untuk pergi mendaki gunung atau bercuti pada hujung minggu.
Sama halnya dengan Yuan yang mengusahakan tanaman salad, terung, Golden Melon dan cili, tidak pernah menghampakan rakan-rakannya untuk duduk bersembang di kedai kopi atau menghadiri kenduri-kendara.
Menariknya, dari kaki gunung atau dari kedai kopi, Edison dan Yuan masih boleh ‘berkebun’, sama ada menyiram atau membaja tanaman mereka kerana segala-galanya hanya dilakukan dengan hujung jadi dan telefon pintar mereka!
Semuanya menjadi kenyataan kerana Edison dan Yuan adalah antara generasi petani yang menggunapakai teknologi digital dan Internet Bendaan (IoT) untuk aktiviti pertanian mereka di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi di Kuching.
“Dengan bantuan IoT, saya tidak perlu berada di kebun 24 jam. Sambil duduk di kedai kopi, saya boleh menguruskan kebun dan tanaman saya. Jimat masa, jimat tenaga dan hasilnya juga tinggi. Asalkan ada bekalan elektrik dan internet, saya boleh berkebun dari mana sahaja tempat di muka bumi ini,” kata Yuan.
PERTANIAN PINTAR
Di TKPM Rampangi, petani seperti Edison dan Yuan menggunapakai teknologi IoT Smart Farming By TOP Cloud yang dimajukan oleh Zhejiang TOP Cloud-agri Technologi Co.Ltd, sebuah syarikat China yang memperkenalkan teknologi ini.
Di Sarawak, teknologi ini diuruskan oleh agensi yang dipertanggungjawabkan iaitu Positive Mind Sdn Bhd, manakala projek dan sistem ini terletak di bawah pengawasan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Jabatan Pertanian Sarawak.
Sistem pertanian pintar seperti ini sudah diamalkan di China sejak 20 dekad yang lalu dan sudah digunakan dengan meluas di negara-negara Asia yang lain seperti Thailand dan Vietnam. Di Malaysia pula, Sarawak satu-satunya negeri yang menggunapakai sistem ini sejak 2018.
Menurut Pengurus Projek Positive Mind Sdn Bhd, Noresa Donald Matu, apa yang dilaksanakan di TKPM Rampangi adalah sistem Pertanian Pintar IoT yang berfokus kepada pengautomasian sistem pertanian secara fertigasi.
“Disinilah pelayan utama dan platform laman sesawang pertanian pintar atau pertanian digital diuruskan. Selain TKPM Rampangi, ada lima lagi tapak yang menggunakan sistem yang ditadbir secara berpusat di TKPM Rampangi ini,’ kata beliau.
Lima tapak berkenaan ialah Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok, Institut Pertanian Sarawak di Semenggok, Pusat Latihan Pertanian Oya, Stesen Penyelidikan Kabuloh di Miri dan Pusat Latihan Pertanian Kubong di Limbang.
Menjelaskan lebih lanjut tentang teknologi yang digunapakai di sini, Noresa berkata sistem ini merangkumi beberapa aspek tetapi skop utama ialah mesin fertigasi yang berfungsi untuk menghantar air dan baja kepada tanaman yang diautomasikan oleh petani dengan aplikasi mudah alih dari telefon pintar atau boleh juga digerakkan secara manual di mesin itu sendiri.
Aspek kedua ialah penggunaan sensor yang diletak di media tanaman atau dalam rumah hijau yang dipanggil sebagai Sistem Pelindung Hujan (SPH).
Sensor ini memantau beberapa parameter di dalam SPH iaitu suhu dan kelembapan udara, suhu dan kelembapan media tanaman serta isi dan tahap PH media tanaman. Semua data dari sensor ini dihantar ke platform laman sesawang dan boleh dilihat pada masa sebenar oleh para petani melalui aplikasi mudah alih masing-masing.
Data ini akan disimpan untuk tujuan kajian dan buat masa ini pihak pengurusan menjalankan data analisis secara berterusan menggunakan data yang diperolehi dari semua sensor ini.
Aspek ketiga ialah sistem keselamatan dan pemantauan dengan melengkapi semua SPH dengan kamera litar tertutup (CCTV). Imej dari CCTV ini boleh dilihat pada bila-bila masa dan ini membantu petani memantau pekerja masing-masing di kebun atau memantau keselamatan di SPH semasa mereka tiada di lokasi.
TKPM Rampangi juga dilengkapi dengan stesen cuaca yang berfungsi memantau suhu dan kelembapan udara di sekitar kawasan, suhu dalam tanah, kelajuan dan arah angin, jumlah hujan serta tahap sinaran matahari. Semua bacaan ini juga boleh dilihat oleh para petani melalui aplikasi pintar masing-masing.
Justeru, setiap petani bertanggungjawab mengawalselia mesin masing-masing dan menggunakan sumber maklumat yang tersedia untuk membuat keputusan bagi aktiviti pertanian mereka. Paling penting adalah sistem ini membolehkan petani untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih.
“Sebagai contoh, jika cuaca lembap, mungkin mereka boleh mengurangkan jumlah siraman kepada sekali sehari atau menambah jumlah siraman kepada tiga kali sehari jika cuaca kering. Sistem mereka boleh dijadualkan semula berdasarkan keadaan . Semuanya boleh dilakukan dengan aplikasi pintar ini dan mesin boleh dihidupkan secara kawalan jauh ” kata Noresa.
Di mesin fertigasi ini sendiri ada sensor yang memantau isi dan PH baja. Apabila pam dihidupkan , mesin akan menarik baja ke dalam tangki campuran dan memantau bacaan isi dan PH baja yang bakal disiram. Langkah ini memberi panduan kepada petani untuk memberi nutrisi yang betul untuk tanaman mereka.
IoT jimatkan sumber, tingkat kualiti
Selain itu, kebun-kebun pintar di sini juga dilengkapi dengan mesin perangkap serangga perosak yang berfungsi memerangkap serangga, mengambil gambar serangga berkenaan dan menghantar maklumat ini ke aplikasi mudah alih.
“Peralatan ini lebih menjurus kepada usaha penyelidikan. Kita nak kenalpasti serangga yang ada di kawasan ini supaya para penyelidik boleh mencari cara sesuai bagi menangani serangga-serangga ini,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Noresa berkata, berbanding dengan kaedah fertigasi konvensional, fertigasi pintar ini jauh lebih menguntungkan petani kerana ia membantu petani menguruskan tanaman dengan lebih teratur.
“Fertigasi konvensional biasanya gunakan ‘timer’, jadi bila dah dijadualkan, sistem akan membuat siraman air atau baja mengikut masa yang telah ditetapkan tanpa mengira keadaan media tanaman, cuaca dan sebagainya,” kata beliau.
Malah kata Noresa, pertanian pintar berkembang pantas dan dalam tempoh tiga tahun, banyak perubahan telah berlaku di sini. Antaranya termasuklah saiz mesin yang semakin kecil tetapi kapasitinya kekal sama serta sistemnya juga direka khas untuk keperluan di TKPM ini.
Tidak berhenti setakat ini, usaha penambahbaikan lanjut juga dirancang untuk dilaksanakan di sini. Antaranya termasuklah pembinaan rumah hijau pintar yang mempunyai perlindungan automatik yang boleh dihidupkan dengan aplikasi pintar serta boleh bertindakbalas kepada tahap pencahayaan.
“Sistem perlindungan seperti ini sesuai untuk tanaman yang sentitif kepada cahaya matahari seperti salad. Dengan adanya sistem ini, petani boleh memasang dan menutup kebun sayuran mereka mengikut keadaan cuaca,” ujar Noresa.
Selain itu, perancangan juga dibuat untuk memasang kipas ventilasi bagi mengawal suhu dalam SPH serta memasang sistem pemercik air yang boleh berfungsi untuk menurunkan suhu di dalam SPH atau untuk menyembur baja dan racun.
Kata Noresa, apabila suhu di dalam persekitaran SPH dapat dikawal, maka petani mempunyai lebih banyak peluang untuk meneroka tanaman-tanaman lain yang sensitif kepada cahaya atau suhu tertentu.
USAHAWAN TANI DIGITAL
Dengan semua teknologi yang ada inilah petani seperti Edison dan Yuan memajukan diri mereka sebagai usahawan tani digital. Hanya dibantu seorang dua pekerja, mereka mampu menguruskan kebun, dari mula menanam, menuai hinggalah menjual secara atas talian.
Apa yang menarik kata Yuan, beliau tidak perlu berada di kebun sepanjang masa dan ini memberi beliau peluang untuk melakukan banyak pekerjaan lain.
“Saya boleh pergi menghantar sayuran kepada pelanggan, buat semaian atau pergi ke mana sahaja tetapi aktiviti di kebun tetap diuruskan secara rutin. Saya juga boleh memantau kebun melalui CCTV yang ada walaupun jauh dari lokasi,” kata beliau.
Selain itu, teknologi ini juga menjimatkan baja dan air kerana petani boleh mengawal jumlah sesuai air dan baja mengikut keperluan dan keadaan tanaman. Justeru, apabila tanaman menerima nutrisi yang betul, secara langsung ia memberikan hasil yang berkualiti dan lebih banyak.
“Jimat air, jimat masa , jimat masa, jimat tenaga….Teknologi dan IoT memang menguntungkan petani, apatah lagi sekarang ini kita sedang beralih kepada pertanian pintar atau pertanian moden,” kata Edison.
Menariknya, untuk menjadi petani pintar seperti Edison dan Yuan tidak perlukan ijazah atau perlu duduk berkursus dalam jangka masa lama. Meskipun kedua-duanya memang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi namun kata Noresa, petani lain juga boleh melakukan apa yang dilakukan oleh Edison dan Yuan ini.
“Tidak perlu celik Teknologi Maklumat (IT) sangat, tapi perlu tahu gunakan telefon pintar sebab aplikasi ini dimuat turun ke dalam telefon masing-masing. Selain itu, bakal petani juga diberi latihan tentang penggunaan aplikasi dan mesin untuk operasi tanaman mereka, manakala penyelenggaraan aplikasi dilakukan oleh pihak kami,” tambah beliau.
Secara kesimpulan kata Noresa, pertanian dengan menggunakan IoT memang amat memudahkan petani dan meningkatkan hasil tanaman mereka.
“IoT membolehkan proses pertanian lebih efisien dan hasil dan kualiti tanaman lebih tinggi. Sebab itu jika ada dua petani menggunakan sumber yang sama tetapi seorang lagi menggunakan IoT, hasilnya berbeza dan lebih baik dengan teknologi,” ujar beliau.
Oleh HAINI DARANI