Titik peluh perjuangan sejak 2015, Pulau Bruit akhirnya terhubung

Facebook
WhatsApp
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol.

KUCHING, 8 Oktober: Hampir 12 tahun selepas suara untuk memperkukuh jaringan perhubungan pesisir Sarawak mula digerakkan, impian masyarakat Pulau Bruit untuk menikmati hubungan terus dengan tanah besar kini semakin hampir menjadi kenyataan dengan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa berada di penghujung pembinaan.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, perkembangan itu membawa makna cukup besar kerana kedua-dua jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada jaringan perhubungan pesisir yang diperjuangkan beliau bersama beberapa wakil rakyat kawasan berkenaan sejak 2015.

Abdullah berkata, ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April 2015, beliau bersama wakil rakyat kawasan pesisir telah menyuarakan keperluan membangunkan jajaran jalan raya pesisir yang lebih menyeluruh, termasuk pembinaan jambatan bagi menghubungkan penempatan yang sebelum itu bergantung kepada laluan feri.

Menurutnya, usaha itu kemudiannya diteruskan dengan pertemuan bersama Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem selepas Pilihan Raya Negeri 2016, termasuk penyerahan memorandum berkaitan cadangan jaringan jalan raya dan sembilan jambatan yang menghubungkan penempatan di sepanjang pesisir Sarawak.

Perjuangan itu kemudiannya mendapat sokongan kerajaan negeri dan diteruskan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyaksikan pembangunan jalan raya dan jambatan pesisir dipercepatkan.

Hari ini, hasil daripada rangkaian perancangan itu dapat dilihat melalui pembinaan Jambatan Batang Paloh sepanjang kira-kira 1.9 kilometer dan Jambatan Muara Lassa sepanjang 2.4 kilometer, yang apabila siap akan melengkapkan hubungan Pulau Bruit dengan tanah besar.

“Perasaan syukur dan bangga melihat jambatan ini siap ibarat seperti memenangi Piala Dunia,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini. 

Beliau berkata, meskipun sedikit terkilan dengan kelewatan hampir dua tahun, terutama selepas dua insiden tongkang melanggar tiang jambatan ketika pembinaan, kecekapan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam memantau dan memastikan projek diteruskan amat dihargai.

Penghargaan turut diberikan kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) yang diterajui Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jambatan Batang Paloh sendiri pernah berdepan kelewatan pelaksanaan sehingga hampir dikategorikan sebagai projek sakit. Pada Mac 2025, kerajaan negeri memaklumkan projek bernilai RM298.4 juta itu mengalami kelewatan 96 hari dan kontraktor diarahkan menambah jentera, peralatan serta waktu kerja bagi mempercepatkan pembinaan. 

Namun, Abdullah berkata, apabila kedua-dua jambatan itu siap kelak, lebih 12,000 penduduk daripada 14 penempatan di Pulau Bruit akan menikmati pergerakan yang jauh lebih mudah tanpa kebergantungan seperti sebelum ini terhadap perkhidmatan feri.

Lebih penting, katanya, kemudahan berkenaan akan memberikan kesan langsung kepada kegiatan ekonomi penduduk Pulau Bruit, Daro, Matu dan Tanjung Manis yang banyak bergantung kepada hasil laut serta pertanian.

“Dengan siapnya Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa, maka lengkaplah misi menghubungkan Pulau Bruit dengan tanah besar,” katanya.

Menurut Abdullah, jaringan jalan raya yang lebih baik akan membolehkan hasil nelayan dan petani dibawa ke pasaran dengan lebih cepat, sekali gus mengurangkan masa perjalanan serta membuka peluang kepada peningkatan pendapatan masyarakat setempat.

Abdullah berkata, pembangunan di Pulau Bruit perlu dilihat sebagai sebahagian daripada jaringan lebih besar Lebuh Raya Pesisir Sarawak yang merentasi lebih 900 kilometer dari selatan hingga utara negeri dan melibatkan 21 jambatan utama.

Kerajaan Sarawak, katanya, membelanjakan lebih RM11 bilion bagi pembinaan Lebuh Raya Pesisir sepanjang kira-kira 900 kilometer dan Jalan Utama Kedua sepanjang 230 kilometer.

Beliau menyifatkan jaringan itu sebagai ‘sistem saraf’ yang akan memberikan kesan besar terhadap pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, khususnya di kawasan pedalaman.

“Jaringan jalan raya yang selesa dan lengkap turut menjadi faktor kritikal untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan perniagaan, integrasi masyarakat, jaminan keselamatan, proses pembandaran dan pembukaan penempatan baharu,” katanya.

Rekod kerajaan negeri sebelum ini turut menunjukkan Abdullah konsisten mengaitkan pembinaan jambatan pesisir dengan peningkatan sosioekonomi masyarakat, termasuk ketika Jambatan Muara Lassa memasuki fasa pra-pelancaran pada 2024. 

Ketika itu beliau menyifatkan pembinaan dua jambatan di Pulau Bruit bernilai hampir RM1 bilion sebagai pemangkin kepada sosioekonomi masyarakat pesisir yang sebahagian besarnya merupakan pembekal makanan daripada hasil laut dan tani.

Walaupun misi menghubungkan Pulau Bruit dengan tanah besar hampir selesai, Abdullah menegaskan pembangunan di kawasan DUN Semop masih mempunyai banyak perkara untuk dilaksanakan.

Antaranya termasuk pembinaan pusat niaga, dewan masyarakat dan rumah ibadah bagi memastikan pembangunan kemudahan awam bergerak seiring dengan peningkatan jaringan perhubungan.

Beliau berkata, empat lagi jambatan bernilai kira-kira RM20 juta kini sedang dalam pembinaan bagi menghubungkan jalan utama dengan empat kampung di bahagian utara Pulau Bruit.

Dalam tempoh 10 tahun lalu pula, tidak kurang RM50 juta telah dibelanjakan bagi menaik taraf jalan dalam kampung dan rumah panjang di kawasan DUN Semop.

Peruntukan itu melengkapi pembangunan jaringan utama yang dilaksanakan kerajaan, dengan Abdullah sebelum ini memaklumkan sekitar 60 peratus dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di DUN Semop diberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur melibatkan 21 kampung dan 50 rumah panjang.

Dalam pada itu, Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada semua pekerja feri yang selama ini menjadi penghubung penting masyarakat Pulau Bruit dengan tanah besar.

Katanya, jasa mereka yang bekerja setiap hari dengan sabar dan tekun, termasuk sehingga lewat malam ketika musim perayaan, tidak harus dilupakan apabila era baharu perhubungan darat Pulau Bruit bakal bermula.

Menariknya, Pulau Bruit merupakan pulau kedua terbesar di Malaysia selepas Pulau Banggi di Sabah, manakala Jambatan Muara Lassa sepanjang 2.43 kilometer direkodkan sebagai jambatan kedua terpanjang merentasi sungai di Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat