Oleh: Adie Abd Gani
ZU memerhati awan dari sisi jendela pejabatnya. Tangannya seraya meraba ringan dokumen-dokumen yang bertaburan di atas meja. Dalam keputihan gebu awan yang diamatinya sejak tadi, wap-wap duga, spekulasi yang meragui langkah-langkah atma dalam jumantara kama mula menjelma. Zu belum lagi berkahwin dan baginya, masih andartu di usia akhir 20-an serta sibuk akan rutin kerjaya di era modenisasi kini bukanlah satu benda baharu. Barangkali, sesuatu yang jelas klise pada masa kini. Masa dan tenaga lazim dicurahkan sepenuhnya buat kerjaya tercinta di siang hari dan berbalas tidur nan bersahaja di malam hari pula demi sekelumit rehat sebelum meneruskan agenda baru keesokkan harinya pula.
Sungguhpun Zu tidak mengalami sebarang seluk kekok sebagai wanita bekerjaya saban hari, ia tetap menjadi belenggu dunia logika rakan-rakan sekerjanya. Ketenangan air muka dan telaga rasa Zu terutamanya pada masa rehat tengah hari sering tergugat akan persoalan pedas. Sekarang, persoalan tentang jodoh bukan cuma terbit di fajar raya sahaja, bahkan di perkarangan perbualan seharian kota batu juga. Zu cuma bertahan sehabis baik untuk berbaik sangka. Semua ketentuan perjalanan kehidupannya seolah-olah diserahkan kepada Maha Pencipta.
“Takkan la masih takde calon lagi Zu?” tanya Maryam sambil mengerutkan dahinya.
“Ehhh, ape kate, aku kenalkan kau dengan kawan sekolah aku dulu. Dia kerja di KL sekarang ni. Masih bujang. Padan la dengan kau,” sambung Asfa pula.
Zu hanya mampu tersenyum mendengarkan kerancakan rakan sepejabatnya mencari jodoh buatnya. Senyum kambingnya terus disambung dengan dekahan ketawa kecil sambil memerhati muka mereka berdua di meja makan.
“In sha Allah. Kalau diizinkan, aku kenalkan dia dengan korang nanti. Kita keluar makan sama-sama. Boleh korang bawa keluarga sekali makan luar nanti,” balas Zu sambil menahan mulutnya daripada terbahak.
Pandangannya terus diluru ke arah barisan pencakar langir di luar jendela pejabat, memerhati sekumpulan burung-burung terbang mengelak ceracak bata dan kaca. Seperti dirinya yang ingin lari dari topik yang sedang hangat dibahaskan.Ternyata celoteh kawannya hanya menjadi alunan pawana yang mendesir dari telinga kanan ke telinga kiri Zu. Menjadi irama kepada lamunan siangnya. Sedang asyik mengelamun, telefon Zu yang terbaring sedia di atas meja makan tiba-tiba berdering. Zu terkejut. Mereka jarang sekali menerima mesej ketika waktu rehat. Lantas, ketiga-tiga pasang mata mereka terus fokus ke tarikh dan masa yang terpapar di skrin telefon tersebut. 12 Jun 2013, 12.45 tengah hari dan terpampang satu ikon mesej. Lantas Asfa mencapai telefon tersebut dan memberikannya kepada Zu. Ibu jari Zu kemas ditekap di papan kekunci dan mesej dari En Hasyim, pengarah di syarikat mereka bekerja menjelma dengan jelasnya. Liar mata Zu membaca mesej, sambil dihimpit oleh kedua-dua rakannya yang sibuk hendak tahu akan kandungan mesej tersebut.
Tangkas Zu bangkit dari kerusi dan meluru keluar dari kantin. Asfa dan Maryam ternganga kehairanan melihat tingkah Zu. Tapi, mereka tetap berdiam diri, seakan-akan masak dengan situasi yang baru saja berlaku.
Tepat jam 8.00 malam, jasad Zu tampak layu keluar dari bilik pejabatnya. Setelah mengunci pintu bilik, Zu bergegas turun ke lobi pejabat dan bergerak ke arah perhentian bas di seberang jalan. Sesal kemudian memang tidak berguna. Zu mengeluh panjang tanda akur, kerana sudah terlambat untuk balik menaiki bas ke rumah. Sepatutnya, setelah jam 5.00 petang tadi Zu sudah berhenti menyiapkan kerja yang diarahkan oleh En Hasyim dan mulai beredar. Pilihan Zu sekarang cuma menaiki Grab. Jemarinya laju membelek telefon bimbit yang masih erat di tangan, mencari aplikasi Grab untuk memesan kenderaan. Sesunyi perhentian bas tersebut dengan sahutan suara unggas dan cengkerik nan perlahan, sunyi lagi peta di dalam aplikasi Grab tersebut. Tiada langsung penampakan kenderaan yang tersedia untuk dipesan.
‘Sibuk betul semua pemandu hari ni. Langsung takde satu pun kereta. Dahla badan rase melekit ni. Aku naaak mandi.’ benak Zu lantas berkata-kata.
Tiba-tiba, suasana hening di perhentian bas itu digamit seketika oleh bunyi hon kereta. En Hasyim yang kebetulan baru keluar dari ruang parkir pejabat menyapa Zu yang tampak gelisah menunggu di perhentian bas. Dengan selamba En Hasyim menawarkan ajakan untuk menghantar Zu balik, memandangkan perjalanan ke rumahnya melewati kawasan perumahan yang didiami Zu.
“Tak menyusahkan ke nanti? Takut orang rumah marah pulak kalau En Hasyim sampai lambat,” jawab Zu.
“Hahahaha…Bila masa pulak saya dah beristeri,” jawab En Hasyim sambil tergelak kecil. “Jomla, naik. Saya hantarkan. Lagipun kat kawasan ni, kalau malam, sunyi. Takut takde Grab nak tumpangkan awak nanti,” kata En Hasyim lagi.
Tanpa segan-silu, Zu terus masuk ke dalam kereta En Hasyim. Sepertinya Zu menganggap tumpangan yang ditawarkan oleh En Hasyim adalah upah kepada masa dan tenaga untuk bantuan kerja mustahak tadi. Kedua-dua mereka diam. Perjalanan menuju ke rumah Zu hanya bertemankan suara radio yang memainkan lagu klasik. Tiada sahutan langsung ke lagu-lagu yang dimainkan, walaupun sekadar siulan atau dengungan. Dari tadi, muka Zu dihadapkan ke kiri sahaja. Malar memerhati tarian pohon-pohon kota perlahan ditelan gempita. Setelah sampai di hadapan rumah, Zu tangkas keluar dan mengucapkan terima kasih kepada En Hasyim sebelum menutup daun pintu kereta. En Hasyim hanya membalas dengan senyuman dan terus memecut laju sehingga samar-samar di pandangan.
Kaki kuat Zu yang melangkah laju ke muka pintu terus menjadi lemah-longlai. Tangannya tiba-tiba menggeletar. Gugusan kunci yang digenggamnya sejak tadi tiba-tiba terjatuh. Mangga yang sebelum ini hanya mengambil masa 2 saat untuk dibuka menjadi seminit. Zu terus menggelengkan kepala, melenyapkan segala macam rasa dan bicara yang kurang enak di dalam benaknya. ‘Itu semua hanya budi, pekerti berbahasa orang kita.’ bisik benaknya. Setelah selesai mandi dan solat, Zu terus berbaring di katil. Tangannya menggapai telefon bimbit dan jemarinya cermat memilih lagu untuk didengar sebelum dibuai mimpi malam. Matanya masih terkebil-kebil walau sudah sejam berlalu. Benak Zu seakan berat untuk beristirehat. Sesarat benaknya dengan tamsilan masa hadapan, sarat lagi benak Zu dengan igauan masa lampaunya. Tapi hati masih mahu mengembara. Meneroka dunia bernama cinta.
“Jangan tidur lewat sangat tau. Kalau belum makan, makanlah sesuatu buat alas perut. Jangan biar perut tu kosong,” ujar Zu perlahan membaca mesej yang dihantar oleh En Hasyim.
Zu yang kaget akan mesej diterimanya, terus melepaskan telefon bimbit ke katil. Belum sempat bibirnya tulus memekar senyuman, kotak logikanya bersuara, menidakkan sangkalan Zu. Tidak mungkin orang atasan seperti En Hasyim berkehendakkan orang biasa seperti dia. Keesokkan harinya, mesej yang dihantar oleh En Hasyim kepada Zu dikongsikan bersama Maryam dan Asfa semasa sesi merarau. Kuntum sengih di muka Maryam selamba disahut buah ketawa kecil. Asfa yang tergamam sambil menutup mulutnya tadi turut berdekah sekali setelah mendengar gelakan Maryam. Mereka tumpang gembira dengan apa yang terjadi kepada rakannya. Namun, raut wajah Zu mencerminkan emosi yang berbeza. Asfa lantas menepuk lembut bahu Zu, menghalangnya dari terperosok jauh dalam lamunan siang, bimbang akan trauma sebelum ini menghantuinya lagi.
Zu nan terkejut bingkas bangun dari kerusi dan memohon untuk mengundurkan diri. Maryam dan Asfa turut berdiri dan beredar bersama-sama Zu. Sampai saja di bilik, Zu masih dibelenggu tragedi yang menjadi titik merah dalam kehidupan romantisnya 3 tahun dahulu. Beransur-ansur Zu mula lemas dalam ulitan kenangan pahit masa silam.
“Tak lama lagi, dapat la kite merasa nasi minyak ni,” kata Asfa.
“Alhamdulillah…kan, kan” kata Maryam. “Masuk jugak kau dalam kelab kitorang ni Zu.” sambungnya lagi sambil ketawa kecil.
“Kalau ada jodoh, memang tak kemana. Tapi, aku baru je berkenalan dengan si Azman tu, takkan la kitorang terus naik pelamin,” balas Zu.
Bagai pinang dibelah dua, bulan pula dipagari bintang. Zu dan Azman dilihat saling melengkapi dan secocok sekali biarpun mempunyai personaliti yang agak berbeza. Zu terkenal dengan sikap pendiam, malu dan berimej muslimah. Walaupun sering sibuk akan kerja, Zu senantiasa memastikan dia solat di awal waktu. Zu juga tidak kekok mengenakan baju kurung dan labuh sebagai fesyen pilihan seharian. Azman pula adalah seorang pemuda yang tenang, pandai berkata-kata, dan sangat tegas dalam pekerjaannya. Meskipun tampak serius, Azman memiliki nilai empati yang tinggi. Dia adalah seorang pendengar yang baik dan selalu menjadi tempat untuk Zu meluahkan perasaannya. Azman bijak memahami dan menyelusuri seluk rasa yang dialami oleh Zu dan kualiti itulah yang menyebabkan Zu selesa berhubung dengan Azman.
Hakikatnya, Maryam merupakan orang tengah permulaan bibit cinta antara Zu dan Azman. Azman adalah rakan sekolah menengah Yam semasa di SMA Petra Tunku Jaya. Walaupun sudah lama terpisah sejak tahun 2004 demi melanjutkan pelajaran masing-masing, Maryam masih berhubung dengan Azman melalui surat dan poskad. Hubungan persahabatan mereka semakin erat setelah kedua-duanya bertukar nombor telefon bimbit. Di situ, mereka saling berkongsi imej dan berita tentang kehidupan masing-masing, dan di situ juga merupakan permulaan idea Maryam untuk menjodohkan Azman dengan Zu. Azman sepertinya tidak menolak cadangan yang dikemukakan oleh Maryam, memandangkan mereka bertiga sebaya.
Saat permulaan Azman cuba menghubungi Zu melalui nombor telefon yang diberikan kepadanya, dia sering menerima balasan mesej dari Zu nan sehangat-hangat tahi ayam sahaja. Namun, Azman tetap tidak berputus asa walaupun dilayan sebegitu rupa. Setidaknya pun, Azman akan cuba menghantar mesej singkat selang beberapa hari kepada Zu sebagai pembakar semangat, mendoakan hari-hari yang dilalui mereka selamat dan diberkati. Oleh kerana Zu masih di pertengahan 20-an, dia sering memberi alasan kepada dirinya bahawa dia perlu mengutamakan kerjaya dari bergelumang dalam dunia romantis. Jikalau kelak ditakdirkan tersungkur di pertamanan asmara, merana membawa hati terluka, dia masih berharta.
Hubungan persahabatan mereka sejak tahun 2009, masih lagi kekal walaupun permulaannya hambar. Mesej yang dahulunya dibalas singkat menjadi dua ke tiga patah ayat. Dari dua ke tiga patah ayat, kini menjadi ayat-ayat majmuk yang bertalu-talu balasannya. Mesej yang mulanya cuma dimulakan dengan pertanyaan khabar kini menjadi lebih peribadi.
‘Sekadar mengisi kekosongan masa.’ getus Zu.
Monolog itulah yang sering direalisasikan menjadi kata-kata nan terjungkil keluar dari mulutnya, jikalau ditanya. Sekiranya ditanya soalan yang lebih peribadi, Zu hanya membalas dengan senyuman manis. Maryam yang seakan faham dengan perangai Zu yang suka bersembunyi dengan status hidupnya, sering membalas senyuman tersebut dengan kenyitan mata manja. Hakikatnya, Zu tidak mahu mengiyakan akan sesuatu yang belum pasti. Walaupun sudah menyulam rasa selama setahun, dia masih belum menerima ajakan untuk keluar bersama daripada Azman. Zu juga tidak pernah mengusul ajakan untuk bersua di mana-mana, walau sekadar menjadi teman joging atau lepak sebentar di kedai kopi. Mungkin mereka masih selesa dengan hubungan yang sedia ada. Tidak melulu melepaskan peluru cinta. Janji hati yang sudah diacu, jitu sasarannya.
Walaupun seakan hambar, hubungan yang disemai melalui usikan di telefon bimbit mula meyakinkan Zu bahawa dia sudah bertemu dengan calon mithalinya. Dia dapat merasakan kuntuman cintanya kepada Azman, mula berputik di dalam hati. Jam beransur menjadi hari, dan hari pula menjelma menjadi bulan. Saban hari, Zu tampak semakin ceria pabila turun ke pejabat. Maryam pula sering mengusik Zu dengan kenyitan matanya. Kalau tidak pun, jarinya dicolek ke pinggang Zu sambil mengucapkan tahniah. Maklumlah, siapa tak gembira kalau tengok kawan bahagia.
“Eh, jom teman aku malam ni. Aku nak jumpe Puan Aisyah. Klien kite hari tu. Dia ajak jumpa di restoran D’Wan, dia cakap nak belanja. Sekali-sekala, berpeluang jugak merasa restoran paling popular tahun 2010 ni.” bisik Maryam kepada Zu, mencelah ucapan En Hasyim dalam mesyuarat yang sedang diadakan.
“Zu…Kau nak tak?” tanya Maryam.
Zu terus mengangguk perlahan tanda setuju. Tambahan pula, Zu tidak mengemukakan sebarang bantahan memandangkan esok merupakan cuti umum. Masa rehat hujung minggunya bertambah sehari kerana cuti umum cun jatuh pada hari Jumaat. Maryam yang senang mendengar persetujuan Zu terus membalas mesej Puan Aisyah. Dia ingin memberitahu Puan Aisyah akan pertemuan mereka malam nanti akan disertai oleh Zu. Tepat jam 5.30 petang, mereka berdua terus menaiki teksi ke restoran tersebut yang terletak di ibu kota. Setelah sampai, jasad Puan Aisyah yang memakai baju labuh berwarna kuning langsat tampak sunnguh ceria sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah mereka berdua yang baru keluar dari teksi. Puan Aisyah turun menjemput dan menyapa mereka seolah-olah lama tidak bertemu.
“Terima kasih sebab sudi berjumpa dengan saya. Saya takut jugak, sebab bagitau rancangan untuk lepak lewat sangat,” kata Puan Aisyah.
“Ehh, takpe Puan. Kitorang ni tumpang gembira sebab proposal yang kitorang buat untuk Puan hari tu, Puan suka,” balas Maryam.
Mereka bertiga terus masuk ke restoran sambil tersenyum riang.
“Nanti, saya nak kenalkan korang dengan suami saya. Sebentar lagi dia sampai. Tapi sebelum tu, saya nak minta maaf sikit, sebab nak minta korang berdua ubah sedikit untuk bahagian terma di dalam proposal tu nanti,” jelas Puan Aisyah.
“Takpe. Jangan risau Puan. Kerja senang je tu,” jawab Zu dan Maryam serentak. Sementelahan itu, mereka berdua terus mencapai gelas berisi minuman yang telah dipesan sebentar tadi.
“Sayang…” tiba-tiba suara garau kedengaran dari arah belakang Zu. Maryam dan Puan Aisyah seraya menoleh, memerhati jasad yang tegak berdiri sambil melemparkan senyuman manisnya.
“Az..maan?” jerit Maryam sambil tergamam.
“Aaaaaarrgghhhhhh…” jerit Zu tiba-tiba.
“Zu… Zu…? Awak okay tak ni? Zu…” teriak En Hasyim kebingungan. “Dah pukul 5.30 petang ni. Awak tak balik lagi ke?” tegasnya lagi.
Zu yang terkejut mendengar suara En Hasyim terus menjadi kaku. Mulutnya tidak berdaya melontar sebarang balasan. Hanya kepalanya perlahan ditoleh ke arah pintu bilik. En Hasyim yang masih segak berdiri di tepi pintu menampakkan senyuman kehairanan. Tidak cukup dengan teriakan tadi, En Hasyim terus menyatakan hasrat untuk menghantar Zu balik ke rumah. Menjadikan suasana lebih ganjal. Zu ternganga lalu lantas mencangkung di sisi meja. Pipi putihnya tampak kemerahan menahan malu.