
JAKARTA: Penyanyi legenda Indonesia, Titiek Puspa, meninggal dunia pada usia 87 tahun hari ini selepas menghidap angin ahmar. Berita duka itu disahkan oleh pengurusnya, Mia, seperti yang dipetik dari CNN Indonesia.
Menurut wikipedia, Titiek Puspa dilahirkan dengan nama Sudarwati pada 1 November 1937, anak kepada pasangan Tugeno Puspowidjojo dan Siti Mariam.
Beliau memulakan kerjaya dalam dunia seni sejak 1954, pada era pemerintahan Presiden Soekarno, dan sepanjang kariernya telah menghasilkan ratusan karya seni.
Sebagai anak keempat daripada 12 beradik, perjalanan seni Titiek tidak mudah. Beliau meneroka pelbagai cabang seni persembahan, termasuk nyanyian, penulisan lagu, dan teater.
Sosok yang mesra dipanggil ‘Eyang Titiek’ ini kemudian dikenali sebagai ikon dalam industri hiburan Indonesia.
Menariknya, semasa kecil beliau bercita-cita menjadi seorang guru tadika. Namun impian itu berubah selepas beliau berjaya menjuarai beberapa pertandingan nyanyian.
Titiek mula menapak secara serius dalam industri hiburan selepas menyertai pertandingan Bintang Radio.
Sejak itu, beliau aktif menyanyi dari satu pentas ke pentas lain, sebelum akhirnya merakamkan lagu-lagunya sendiri.
Popularitinya melonjak setelah melancarkan album Doa Ibu yang memuatkan 12 lagu, termasuk lagu popular seperti Minah Gadis Dusun dan Pantang Mundur.
Selain dunia muzik, Titiek Puspa turut aktif dalam bidang lakonan. Beliau membintangi sejumlah filem terkenal seperti Bawang Putih (1974), Inem Pelayan Seksi (1976), Gadis (1980), Apanya Dong (1983), dan Ini Kisah Tiga Dara (2016).
Dalam kehidupan peribadinya, Titiek pernah berkahwin dengan seorang pegawai Radio Republik Indonesia pada 1957, namun perkahwinan itu berakhir beberapa tahun kemudian. Beliau kemudian berkahwin dengan pemuzik Mus Mualim pada 1970 hingga 1990.
Pada 2009, Titiek disahkan menghidap k-anser serviks dan menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Beliau dinyatakan sembuh selepas dua bulan menjalani kemoterapi intensif.