DALAM diam-diam kerajaan negeri Pulau Pinang mahu ‘meniru cara Sarawak’ untuk turut memperkenalkan cukai jualan produk petroleum. Ini diakui Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow yang mahu mencontohi Sarawak ‘jika ada rizab minyak dan kita perlu berusaha bagaimana kita boleh mendapatkan bahagiannya.’
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Pulau Mutiara itu mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian dan begitu juga negeri-negeri lain di Semenanjung.
Dalam kes mahkamah apabila Sarawak memfailkan saman terhadap Petronas pada November 2019, Hakim Mahkamah Tingggi di Kuching telah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri dan kerajaan Sarawak berhak menggubal Ordinan Cukai Jualan Negeri berdasarkan Perlembagaan Malaysia serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Kerajaan Sarawak memfailkan saman itu selepas Petronas gagal membayar cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum yang dikuatkusakan di negeri ini.
“Kerajaan negeri tiada pilihan lain kecuali memulakan tindakan undang-undang terhadap Petronas untuk menuntut cukai yang belum dibayar,” kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, kini Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) dalam satu kenyataan pada November 2019, sekali gus menggemparkan seluruh negara.
Sarawak mengenakan cukai jualan pada kadar lima peratus ke atas produk petroleum yang dieksport mulai 1 Januari 2019 sebagai sumber hasil baharu untuk menyokong agenda pembangunan negeri. Ia dilevikan terhadap minyak mentah, gas asli, gas asli cecair (LNG), produk baja berasaskan kimia dan produk daripada proses penukaran gas kepada cecair.
Ketika itu, Petronas tidak mahu membayar cukai jualan produk petroleum yang ditetapkan mengikut Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, tetapi dua syarikat petroleum asing yang beroperasi di Sarawak iaitu Shell dan Murphy Oil dilaporkan patuh untuk membayar cukai jualan yang dimaksudkan.
Petronas mempersoalkan isu ini tetapi ditolak oleh mahkamah selepas permohonan semakan penghakiman. Bagaimanapun, pada 3 Ogos 2020, Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum.
Akhirnya pada 8 Ogos 2020, Petronas dan tujuh anak syarikatnya membayar SST bagi produk petroleum sebanyak RM2,956,671,407.36 kepada kerajaan negeri Sarawak untuk sepanjang 2019 dan sejak itu, Petronas terus membayar SST setiap tahun. Terima kasih Petronas.
Tahun lalu, Sarawak mengutip hasil cukai itu sebanyak RM8 bilion dan dijangka akan terus meningkat pada 2023.
Oleh itu, Pulau Pinang atau mana-mana negeri di Semenanjung perlu mendapatkan nasihat undang-undang terlebih dahulu jika mahu memperkenalkan cukai jualan produk petroleum. Sebaliknya, Sarawak dan Sabah ada MA63 dan IGC sebagai ‘back-up’.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini pernah memaklumkan kepada DUN Sabah bahawa Petronas telah mendaftar dan dilesenkan dibawah Cukai Jualan Negeri Sabah, pada 15 Disember, 2020 dan mulai 2021, Sabah juga akan menerima SST dianggarkan berjumlah RM1.25 bilion.
Pada sidang DUN Sabah November tahun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Masidi Manjun berkata, kutipan SST dibuat Sarawak lebih tinggi berbanding Sabah berikutan aktiviti hiliran minyak dan gas yang lebih banyak di Bumi Kenyalang.
“Sarawak lebih ke hadapan dalam industri hiliran minyak dan gas, sebab itu mereka dapat mengutip cukai yang lebih tinggi. Kita pun dalam usaha untuk meluaskan kutipan SST termasuk produk urea dan ammonia untuk menambahkan lagi kutipan SST Sabah,” katanya.
Tetapi sayang, sepatutnya Sarawak dan Sabah sudah lama mengecapi SST dan bayangkan berapa bilion ringgit boleh dikutip selama ini melalui cukai hasil bumi Borneo. Namun, kita juga bersyukur hasil mahsul bumi ‘mula kembali’ ke tempat haknya.
Apa akhiran PDP/PSB?
JIKA mengikut perancangan awal pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), Disember ini adalah sasaran untuk dua parti itu bergabung.
Ini dinyatakan oleh Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing pada
19 Ogos lalu, namun hingga kini tiada perkembangan lanjut mengenai pelan itu. Antara tempoh itu hingga kini, pelbagai kenyataan bagaikan ‘membantah’ usaha itu sama ada secara langsung atau tidak, dikeluarkan oleh parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
PDP adalah antara empat parti komponen dalam GPS, manakala PSB pimpinan Dato Sri Wong Soon Koh sebagai parti pembangkang tetapi sudah mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan GPS dan Kerajaan Perpaduan selain turut berkempen menyokong GPS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak baru-baru ini.
Setiausaha Agung GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut menyentuh isu ini secara tidak langsung ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB bagi Zon Sibu baru-baru ini.
Katanya, sebarang cadangan pengabungan atau kerjasama antara parti komponen GPS dengan pembangkang perlu dibincangkan serta mendapat kelulusan pemimpin tertinggi gabungan itu supaya tidak menggugat semangat kesatuan, pemahaman dan kestabilan kuat dalam GPS.
“Kami ahli PBB bimbang dengan sebarang usul penggabungan yang tidak dibincangkan dengan sewajarnya di peringkat GPS. Kami ingin mengingatkan semua parti komponen GPS mengenai langkah dan keputusan sedemikian yang boleh mengganggu kesatuan, pemahaman dan kestabilan agar dirujuk terlebih dahulu kepada saluran yang sewajarnya.
“Keputusan apa pun hendaklah dibuat melalui perbincangan dan mesti mempunyai persetujuan PBB dan parti komponen lain,” katanya.
Berikutan itu, PDP dan PSB kini bagaikan dalam dilema. Apakah mereka masih mahu bergabung yang semestinya perlu mendapat restu pemimpin tertinggi GPS?
Dari satu sudut, gabungan PDP dan PSB itu akan memperkuatkan lagi kedudukan GPS tetapi dari sudut sisi, perlu juga menjaga ‘hati’ pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu dua lagi parti komponen dalam GPS.
PSB sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP), ditubuhkan pada 2014 selepas berlaku pergelutan kuasa antara kepemimpinan tertinggi SUPP. Ini bermakna ‘luka lama’ dalam SUPP masih ada.
Bagaimana pula dengan PRS? PRS sebelum ini tidak berpuas hati kerana tindakan PSB menerima pemimpin kanan PRS yang keluar parti termasuk bekas Timbalan Presidennya, Datuk Joseph Entulu Belaun dan dua bekas Naib Presiden PRS, Datuk Masir Kujat dan Datuk William Nyallau Badak.
Bukan sesuatu yang mudah bagi mereka melupakan semua itu. Namun, jika sesuatu yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyatnya, semua harus bersikap terbuka dan lapang dada.
Oleh Kadir Dikoh
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak