
KUALA LUMPUR: Walaupun menjalani hidup di sebalik tirai besi selama 23 tahun, impian Murad untuk menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi tidak pernah luntur dan ketabahannya membuahkan hasil apabila menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pentadbiran Perniagaan di Majlis Konvokesyen ke-29 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini hari ini.
Murad (bukan nama sebenar), 38, yang menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Penjara Kajang, dekat sini memulakan perjalanan pendidikannya di dalam penjara pada 2006 dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian.
Selepas menamatkan STPM, Murad yang berpindah dari Kota Marudu, Sabah ke Semenanjung Malaysia pada usia muda memohon untuk melanjutkan pengajian di OUM melalui Jabatan Penjara dan mengakui bahawa keputusan itu sukar kerana skeptisisme dan halangan di sekelilingnya.
Setelah 16 tahun mendaftar di OUM bermula dengan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian, hari ini Murad dianugerahkan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan oleh Pro Canselor OUM Tan Sri Azman Hashim, menandakan pengakhiran yang gemilang kepada perjalanan akademiknya.
Murad berkata beliau berterima kasih kepada OUM yang mempercayai dan menyokongnya sehingga berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD, selain menjunjung kasih tidak terhingga kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana memberikan pengampunan dan menaruh kepercayaan.
“Saya terus cekal dan bersemangat untuk melanjutkan pengajian disebabkan galakan serta sokongan masyarakat. Saya cuba membuktikan kepada masyarakat dan rakan-rakan banduan bahawa saya juga mampu berubah serta boleh mencapainya,” katanya ketika ditemu bual Bernama di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Kini seorang mualaf, Murad mempunyai minat mendalam untuk mempromosikan keusahawanan dalam kalangan bekas banduan dengan matlamat seterusnya untuk melancarkan perniagaan kecil bagi memberikan mereka peluang memperoleh masa depan yang lebih baik.
Murad telah diberikan pengampunan sempena Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-79 pada Disember tahun lepas.
Dalam majlis yang sama, dua graduan berusia 70-an menerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi meraikan pencapaian akademik mereka yang luar biasa.
Yusuf Haron, 73, dari Perak, yang memperoleh Ijazah Sarjana Pengajian Islam memberitahu Bernama bahawa beliau sangat teruja dan amat berterima kasih kepada OUM kerana menganugerahkannya Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat.
“Saya bersyukur OUM menerima saya untuk melanjutkan pengajian pada peringkat umur sebegini. OUM benar-benar yang terbaik,” kata Yusuf.
Sementara itu, Tang Tung Khing, 79, yang lulus cemerlang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian berkata anak-anaknya memberi inspirasi kepadanya untuk melanjutkan pengajian.
“Saya mendapat inspirasi untuk menyambung pengajian selepas melihat ketiga-tiga anak saya menamatkan pengajian mereka. Saya percaya warga emas hari ini mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan yang mencukupi untuk memperbaiki kehidupan mereka,” kata bekas Setiausaha Akhbar dan pesara kerajaan itu.
Seorang lagi penerima anugerah, Pegawai Khas kepada Pengerusi Bernama, Azlinda Zainudin menerima Anugerah Presiden atas Pencapaian Akademik Cemerlang selepas memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT atas pencapaian ini. Saya bangga dengan usaha, cabaran dan pengorbanan yang dilalui sepanjang perjalanan pembelajaran saya dan akhirnya membuahkan hasil. Anugerah ini bukan hanya untuk saya, ia milik semua yang menyokong saya termasuk keluarga, pensyarah dan rakan-rakan,” katanya yang merupakan ibu dan anak sulung dalam keluarganya.
Sejak penubuhannya pada 2000, OUM telah melahirkan lebih 120,000 graduan, dari peringkat diploma hingga PhD dan akan menyambut ulang tahun ke-25 pada Ogos ini. -Bernama