Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Tiong tetapkan tempoh sebulan bentang pelan mitigasi banjir Sungai Plan
  • Utara
  • WILAYAH

Tiong tetapkan tempoh sebulan bentang pelan mitigasi banjir Sungai Plan

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATO Sri Tiong King Sing meninjau sekitar Sungai Plan, Bintulu. Foto: Facebook Dato Sri Tiong King Sing

BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing menetapkan tempoh satu bulan kepada semua agensi berkaitan untuk membentangkan pelan mitigasi banjir Sungai Plan yang komprehensif dan praktikal susulan kejadian banjir akibat hujan lebat baru-baru ini.

Beliau berkata, beberapa kawasan di sepanjang Sungai Plan dikenal pasti sebagai zon merah apabila paras air mencecah kira-kira tiga kaki, sekali gus menjejaskan penduduk dan aktiviti setempat.

Menurutnya, hasil lawatan tapak bersama pihak berkuasa mendapati keperluan mendesak untuk melaksanakan kerja mendalamkan sungai serta pembersihan menyeluruh bagi memulihkan fungsi saliran dan kapasiti takungan banjir asal.

“Saya telah mengarahkan semua agensi yang terlibat untuk mengadakan perbincangan segera dan mengemukakan pelan penambahbaikan dalam tempoh sebulan, dengan sasaran melihat hasil yang ketara sebelum Tahun Baharu Cina (TBC) 2026,” katanya dalam kenyataan melalui hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau menegaskan, Sungai Plan perlu dikorek menggunakan jentera pengorek dan dibersihkan secara menyeluruh bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menubuhkan pasukan petugas rentas jabatan bagi menyelaras tindakan termasuk mengenal pasti punca sekatan aliran, sempadan rizab sungai, peranan agensi serta kaedah teknikal pelaksanaan kerja.

Dalam pada itu, Tiong memberi amaran tegas bahawa mana-mana kilang atau gudang yang didapati menceroboh rizab saliran atau rizab sungai diarahkan mengalihkan struktur berkenaan dengan segera.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi arahan, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sementara itu, katanya, BDA telah mengarahkan kontraktor memulakan kerja pembersihan dan pengorekan saliran, dengan kerja-kerja tersebut telah bermula dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu bergantung kepada keadaan cuaca.

Beliau turut memberi jaminan akan memantau secara berterusan perkembangan kerja bagi memastikan kecekapan sistem saliran dipertingkatkan serta risiko banjir dapat dikurangkan.

Oleh Carolyne Utih

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: APM Limbang musnahkan sarang tebuan sebesar tayar Kancil di Kampung Reda
Next: Ziarah Prihatin ADUN Kabong bantu warga emas terlantar sakit

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.