
SARIKEI: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kaum demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, pembangunan yang dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan sekolah, kawasan bandar dan luar bandar, rumah panjang serta penambahbaikan jalan raya dan kemudahan asas.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap usaha memelihara keharmonian antara kaum dan agama, termasuk menghormati kebebasan beragama serta menyokong pembangunan pendidikan.
“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Kwong Wai Siew, bertempat di Dewan Sentral Sarikei, baru-baru ini.
Tiong Sii turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua ahli Persatuan Kwong Wai Siew.
“Persatuan Kwong Wai Siew sebagai sebuah pertubuhan bersejarah yang memainkan peranan penting dalam menyatukan ahli, memupuk semangat kerjasama serta menyumbang kepada keharmonian masyarakat setempat.
“Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada semua ahli Persatuan Kwong Wai Siew.
“Sambutan perayaan seperti ini merupakan warisan tradisi yang perlu diteruskan dari generasi ke generasi bagi memastikan identiti budaya terus terpelihara,” katanya.
Tambahnya, usaha memelihara seni budaya seperti tarian singa juga penting bagi memastikan identiti budaya terus terpelihara.
Pada majlis sama, Tiong Sii turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Kwong Wai Siew bagi menyokong aktiviti dan pengurusan persatuan tersebut.
Oleh Earl Anek