
SARIKEI: Seorang lelaki yang terlantar sakit di rumahnya di Jalan Rentap, di sini, menerima sumbangan sebuah katil pesakit boleh laras daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Penerima bantuan, Anderson Lu Yew Xian, 31, menerima katil berkenaan yang disampaikan oleh wakil Pusat Khidmat Repok, baru-baru ini.
Menurut Tiong Sii, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk membantu pesakit yang memerlukan, khususnya yang terlantar sakit di rumah.
“Bantuan ini adalah salah satu usaha saya untuk meringankan beban pesakit dan keluarga mereka.
Katil pesakit boleh laras ini diharap dapat memberi keselesaan serta memudahkan penjagaan harian,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, program sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk di Parlimen Sarikei dan DUN Repok sentiasa mendapat sokongan sewajarnya.
“Saya akan sentiasa berusaha menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan agar masyarakat tidak rasa terabai,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek