BINTULU: Bintulu lumpuh akibat banjir besar susulan hujan lebat berterusan selama tiga hari dua malam, menyebabkan ribuan penduduk terjejas.
Air naik mendadak hingga hampir mencecah tingkat dua rumah di beberapa kawasan, memerangkap ramai mangsa termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak yang kini menanti bantuan kecemasan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing, menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPNS) atas tindakan pantas mengaktifkan respons kecemasan 24 jam.
Menurutnya, kerjasama erat dengan Pejabat Residen Bintulu membolehkan pelbagai agensi termasuk bomba, polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam digerakkan untuk menyelamatkan mangsa di kawasan terjejas.
Beliau turut memuji tindakan pantas Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Pusat Khidmat Parlimen P217 Bintulu, yang segera mengerahkan bot penyelamat bagi memindahkan mangsa ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Pusat Sukan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Kidurong, Balai Raya Jepak, Stadium Muhabah, Dewan Suarah Bintulu dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kebangsaan (SMK) Assyakirin.
Situasi kritikal itu turut menyaksikan bantuan kecemasan daripada pasukan bomba dari Sibu, Miri, Labuan dan Kota Kinabalu yang dijangka tiba hari ini bagi mempercepat operasi menyelamat.
Dua bot laju daripada Pasukan Bantuan Bencana Wilayah Tengah PDP turut digerakkan untuk menyokong usaha pemindahan mangsa.
Mengulas faktor penyebab banjir luar biasa itu, Tiong menegaskan, selain hujan lebat, kelemahan infrastruktur saliran menjadi punca utama.
Katanya, Sungai Sibiew gagal menampung limpahan air akibat projek pendalaman dan pelebaran sungai yang tertangguh hampir lima tahun.
“Kawasan paling terjejas jelas berada di sekitar Sungai Sibiew, satu petanda bahawa projek ini tidak boleh ditangguh lagi.
“Sungai ini perlu didalamkan sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter dan dilebarkan sehingga 100 meter bagi menampung peningkatan hujan akibat perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa tindakan segera untuk mendalamkan Sungai Kemena, yang bersambung terus ke laut, kerana pemendapan teruk menyebabkan sungai semakin cetek dan sukar dilalui bot.
Dalam mesyuarat bersama Pejabat Residen Bintulu pada 10 Februari ini, beliau akan mengulangi desakan supaya projek pendalaman Sungai Sibiew dan Sungai Kemena dimulakan segera.
Beliau juga mencadangkan pembinaan jambatan Taman Jason – Taman Kemena Sutera ditangguhkan bagi memastikan kerja-kerja pendalaman sungai tidak terjejas.
Pada masa sama, beliau menggesa agar penduduk setinggan di sepanjang tebing sungai dipindahkan segera bagi membolehkan projek infrastruktur ini berjalan lancar.
Banjir kali ini berlaku pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina, menyebabkan ribuan keluarga kehilangan harta benda dan kediaman, sekali gus menjejaskan perayaan mereka.
“Kita tidak boleh biarkan tragedi ini berulang. Tindakan segera mesti diambil untuk memastikan Bintulu tidak lagi berdepan bencana sebegini,” ujarnya.
Penduduk yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Dato’ Seri Tiong King Sing di 019-9565555, Pusat Khidmat Parlimen P217 Bintulu di 086-312979, atau Pegawai Khas Menteri, Steven Kong Kai Seng di 012-8049663. Talian bantuan lain termasuk 086-332222, 086-318233, 086-339781 dan 014-8821243 (Kebajikan).
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan berwaspada terhadap arus deras bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Semua lima PPS kini beroperasi sepenuhnya dengan bantuan makanan, tempat perlindungan dan keperluan asas bagi mangsa banjir.
Oleh Carolyne Utih