KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
Tiong berkata kunjungan itu untuk merakamkan penghargaan kepada Abang Johari atas kepercayaan yang diberi untuk menggalas jawatannya dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kunjungan itu juga bagi membincangkan kerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam industri pelancongan dan perkara berkaitan.
“Saya akan memastikan semua pihak dapat bersama-sama meningkatkan industri pelancongan, seni dan budaya di Malaysia termasuk di Sarawak. Kita perlu mendapatkan semua orang untuk bekerjasama bagi meningkatkan industri pelancongan kita tanpa pilih kasih.
“Pada masa ini saya tidak dapat menjelaskan lebih lanjut kerana belum mendapat keseluruhan taklimat daripada sektor pelancongan dan sebelum ini hanya perbincangan dalaman kementerian sahaja.
“Semua agensi lain lebih kurang 10 agensi di bawah kementerian saya dan taklimat hanya akan bermula minggu depan, kemudian barulah kami perincikan selepas itu,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan itu.
Menjelas lanjut, Tiong berkata pihaknya akan mengkaji sekali gus mengadakan lebih banyak perbincangan berkaitan di samping memperjuangkan nasib artis dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berbakat.
“Seperti yang saya katakan, saya belum dapat lagi taklimat kerana golongan OKU juga boleh menyumbang dalam bidang tertentu dan dengan itu kita boleh bersama berbincang bersama pihak persatuan berkaitan bagaimana kita boleh bekerjasama,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Keterangan gambar
KUNJUNGAN HORMAT… Dato’ Seri Tiong King Sing ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, hari ini.