Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tiong, GPS dan politik pragmatik Sarawak
  • KOLUMNIS

Tiong, GPS dan politik pragmatik Sarawak

Utusan Sarawak 6 hours ago

TINDAKAN Dato Sri Tiong King Sing berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri buat kali kedua, selepas Sabah dan kini Johor tidaklah boleh dilihat sebagai episod politik biasa. Ia membawa makna simbolik yang lebih besar, khususnya terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Walaupun GPS secara rasmi menegaskan bahawa kehadiran Tiong di pentas PH adalah atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili gabungan, pengulangan tindakan tersebut tetap membuka ruang tafsiran politik yang luas.

Dalam politik, persepsi sering bergerak lebih pantas daripada kenyataan rasmi. Justeru, tindakan seorang tokoh kanan GPS yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Menteri Persekutuan tidak dapat dipisahkan sepenuhnya daripada imej gabungan yang diwakilinya.

Ruang autonomi

Daripada satu sudut, tindakan Tiong memperlihatkan wujudnya ruang autonomi yang agak luas dalam kalangan pemimpin GPS. Ini bukan sesuatu yang baharu dalam politik Sarawak.

GPS bukan gabungan yang bersifat terlalu ideologikal seperti parti-parti di Semenanjung. Ia lebih berteraskan kepentingan negeri, keseimbangan kuasa tempatan dan pragmatisme dalam hubungan dengan Kerajaan Pusat.

Oleh itu, tindak-tanduk pemimpin tertentu kadangkala lebih mencerminkan bacaan politik individu atau parti komponen berbanding pendirian rasmi keseluruhan gabungan. Namun, apabila tindakan itu berlaku berulang kali, ia tetap menimbulkan persoalan sama ada GPS benar-benar mempunyai garis disiplin politik yang jelas atau membenarkan pemimpinnya bergerak dalam ruang kelabu demi menjaga kepentingan tertentu.

DATO Sri Tiong King Sing menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Ramah Mesra Masyarakat Cina Bukit Bakri serta sesi bersama masyarakat di Johor baru-baru ini. Foto FB Dato Seri Tiong King Sing

Implikasi

Implikasi pertama kepada GPS ialah munculnya persepsi bahawa gabungan itu tidak sepenuhnya seragam dalam menelaah pilihan raya di luar Sarawak.

GPS mungkin tidak bertanding di Johor, tetapi kehadiran Tiong di pentas PH memberi isyarat bahawa sekurang-kurangnya sebahagian pemimpin GPS selesa untuk membantu PH dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

Ini penting kerana GPS selama ini berhati-hati menjaga imej sebagai gabungan Sarawak yang bebas daripada dominasi mana-mana blok Semenanjung.

Jika GPS dilihat terlalu mesra PH, ia boleh mengundang kritikan daripada pihak lain bahawa prinsip berkecuali GPS semakin longgar. Sebaliknya, jika GPS terlalu keras menafikan hubungan politik dengan PH, ia pula boleh menjejaskan keakraban dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Implikasi kedua ialah tindakan Tiong boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan parti komponen GPS sendiri. Gabungan itu terdiri daripada beberapa parti dengan sejarah, kepentingan kawasan dan jaringan akar umbi yang berbeza.

Apabila seorang presiden parti komponen muncul di pentas gabungan lain, tindakan itu boleh dibaca oleh parti komponen lain sebagai langkah yang melangkaui sempadan kolektif.

Dalam politik gabungan, disiplin bukan sekadar soal peraturan bertulis, tetapi juga soal kesepakatan tidak rasmi. Jika setiap pemimpin utama bergerak mengikut tafsiran masing-masing, GPS berisiko dilihat sebagai gabungan yang terlalu longgar, walaupun realitinya ia masih kukuh di Sarawak.

TIONG King Sing berucap pada ceramah umum Pakatan Harapan di Muar, baru-baru ini.

Kekuatan struktur

Namun begitu, kesan tindakan Tiong tidak semestinya merosakkan GPS secara langsung. GPS mempunyai kekuatan struktur yang berbeza daripada parti-parti Semenanjung.

Kekuatan GPS terletak pada kedudukannya sebagai gabungan dominan di Sarawak, hubungan rapat dengan kerajaan negeri, kekuatan jentera tempatan dan keupayaannya menampilkan diri sebagai pembela kepentingan Sarawak.

Selagi rakyat Sarawak melihat GPS sebagai wadah utama mempertahankan autonomi negeri, pembangunan wilayah, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hasil sumber dan kuasa rundingan dengan Putrajaya, tindakan individu seperti Tiong mungkin tidak cukup kuat untuk menggugat kedudukan gabungan itu.

Di sinilah pentingnya memahami prinsip “Sarawak first” yang sering menjadi asas politik GPS. Prinsip ini membolehkan GPS bekerjasama dengan mana-mana Kerajaan Pusat, selagi kerjasama itu memberi manfaat kepada Sarawak.

GPS pernah menyokong kerajaan yang berbeza di Putrajaya mengikut keperluan politik semasa.

Dalam konteks hari ini, PH ialah teras Kerajaan Perpaduan bersama BN, GPS dan parti-parti lain. Maka, hubungan baik dengan PH bukan semestinya bermaksud GPS telah menjadi pro-PH secara ideologi. Ia lebih tepat dibaca sebagai strategi memastikan Sarawak terus berada dalam kedudukan tawar-menawar yang kuat di peringkat Persekutuan.

PRESIDEN PDP, Dato Sri Tiong King Sing ketika berucap membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Datuk Ruji Ubi pada pilihan raya negeri Sabah, November 2025.

Reputasi PDP

Persoalan kedua ialah mengapa GPS tidak mengambil tindakan keras terhadap Tiong. Jawapannya terletak pada kedudukan politik Tiong sendiri. Beliau bukan tokoh kecil dalam GPS.

Sebagai Presiden PDP, Ahli Parlimen Bintulu dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong mempunyai nilai politik yang signifikan. PDP pula merupakan salah satu parti komponen GPS yang memiliki kerusi dan pengaruh tersendiri.

Dalam politik gabungan, menghukum seorang presiden parti komponen bukan tindakan mudah. Ia boleh mencetuskan reaksi balas, bukan sahaja daripada Tiong secara peribadi, tetapi juga daripada jaringan penyokong PDP.

Selain itu, Tiong mempunyai pengaruh peribadi yang tidak boleh dipandang ringan, khususnya di Bintulu dan kawasan-kawasan yang berkaitan dengan PDP.

Dalam politik Sarawak, personaliti pemimpin, hubungan akar umbi dan kekuatan tempatan masih memainkan peranan penting. Jika GPS mengambil tindakan terbuka dan keras, ia mungkin memberi gambaran bahawa gabungan itu sedang mengalami pertelingkahan dalaman.

Aspek ini boleh menjadi peluru politik kepada lawan, terutama menjelang pilihan raya negeri Sarawak akan datang. Dalam keadaan GPS mahu mengekalkan imej stabil dan dominan, tindakan disiplin yang terlalu keras mungkin lebih merugikan daripada menguntungkan.

Faktor ketiga ialah keperluan GPS menjaga hubungan strategik dengan Kerajaan Pusat. Tiong bukan sekadar pemimpin GPS, tetapi juga anggota Kabinet Persekutuan. Sebarang tindakan keras terhadap beliau kerana membantu PH boleh ditafsirkan sebagai isyarat negatif kepada Putrajaya.

GPS tentu tidak mahu dilihat bermusuh dengan PH ketika gabungan itu masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Dalam politik persekutuan Malaysia, hubungan pusat-negeri amat penting, lebih-lebih lagi bagi Sarawak yang sedang menuntut pelaksanaan lebih menyeluruh terhadap MA63, pembangunan infrastruktur, peruntukan kewangan dan pengiktirafan kuasa autonomi tertentu.

Kebijaksanaan GPS

Maka pendekatan GPS setakat ini lebih bersifat kawalan kerosakan. GPS menjarakkan diri daripada tindakan Tiong dengan menyatakan bahawa ia dilakukan atas kapasiti peribadi, tetapi pada masa sama tidak menghukumnya secara terbuka.

Kenyataan ini ialah pendekatan yang pragmatik. Ia membolehkan GPS mempertahankan imej neutral di Johor, mengekalkan hubungan baik dengan PH, dan mengelakkan konflik terbuka dalam gabungan sendiri.

Dalam politik, kadangkala tindakan tidak menghukum juga merupakan satu bentuk strategi. Ia memberi ruang kepada semua pihak menyelamatkan muka tanpa mencetuskan krisis yang lebih besar.

Persoalan tercetus ialah sama ada kehadiran Tiong menunjukkan GPS lebih memihak kepada PH berbanding gabungan lain di Johor. Secara rasmi, jawapannya tidak.

Tidak adil untuk menyimpulkan bahawa GPS sebagai sebuah gabungan menyokong PH hanya kerana seorang pemimpin komponen hadir dalam ceramah PH. GPS telah menyatakan bahawa tindakan itu bersifat peribadi.

Namun, dari sudut persepsi politik, dakwaan bahawa GPS kelihatan lebih mesra PH bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan begitu sahaja. Dalam politik pilihan raya, simbol, kehadiran fizikal dan pentas ceramah membawa makna yang besar.

Apabila seorang menteri Persekutuan dari GPS muncul di pentas PH, pengundi tentu membaca tindakan itu sebagai isyarat politik, walaupun tidak dinyatakan secara rasmi.

Politik pragmatik

Namun, isyarat itu tidak semestinya bermaksud GPS telah memilih PH secara mutlak. GPS lebih cenderung kepada kestabilan pusat dan kepentingan Sarawak.

Selagi PH memimpin Kerajaan Perpaduan dan mampu memberi ruang rundingan kepada Sarawak, GPS akan terus menjaga hubungan baik dengan PH. Ini bukan soal cinta politik, tetapi soal kepentingan strategik.

GPS tidak perlu menjadi PH untuk bekerjasama dengan PH. GPS juga tidak perlu bermusuh dengan blok lain semata-mata kerana berada dalam kerajaan bersama PH. Inilah sifat politik Sarawak yang lebih fleksibel, transaksional dan berorientasikan hasil.

Maka dirumuskan bahawa kehadiran Tiong di ceramah PH Johor lebih tepat ditafsirkan sebagai isyarat pragmatisme politik berbanding pengisytiharan rasmi sokongan GPS kepada PH.

Namun, tindakan berulang itu tetap memberi kesan kepada persepsi awam terhadap GPS. Ia memperlihatkan bahawa dalam GPS, wujud pemimpin yang mempunyai ruang autonomi politik yang besar.

Situasi ini juga menunjukkan bahawa hubungan GPS dengan PH semakin praktikal dalam konteks Kerajaan Perpaduan. Cabaran terbesar GPS selepas ini ialah mengurus persepsi supaya pragmatisme tidak dilihat sebagai ketidaktentuan prinsip, dan supaya autonomi pemimpin tidak ditafsirkan sebagai kelemahan disiplin gabungan.

Dalam politik Sarawak, kekuatan GPS bukan sekadar pada kerusinya, tetapi pada kemampuannya mengimbangi kepentingan negeri, hubungan pusat dan keharmonian dalaman gabungan.

Tingkah laku politik Tiong hanya dilihat satu episod, tetapi episod ini mendedahkan bagaimana GPS terus memainkan politik halus antara prinsip, kuasa dan kepentingan.

Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Syarikat penerbangan perlu asas pengurusan, kewangan, operasi dan keyakinan penumpang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.